Belum sempat Manchester City memulihkan diri daripada kekalahan 1-0 di tangan Tottenham Hotspur hujung minggu lalu, badai dan taufan yang tidak pernah dalam sejarah mereka berlaku, secara tiba-tiba melanda.

Menurut akhbar Daily Mail dan kesemua sumber media lain pagi semalam, pihak pengurusan City telah secara rasminya disaman oleh jawatankuasa Liga Perdana Inggeris (EPL) atas kesalahan melanggar peraturan kewangan, merangkumi lebih 100 pertuduhan kesemuanya.

Pihak EPL berkata bahawa ini merupakan skandal terbesar dalam sejarah liga tersebut dan memakan masa lebih empat tahun untuk siasatan dijalankan.

Secara ringkasnya, kesalahan yang didakwa dilakukan oleh City dibahagikan kepada lima bahagian.

Bahagian pertama melibatkan ketelusan maklumat yang disediakan oleh pihak kewangan City, terutama hal-ehwal hasil jualan dan tajaan.



Bahagian kedua, yang merangkumi tempoh musim 2009-10 sehingga 2012-13, melibatkan ketelusan maklumat berkaitan gaji pengurus pasukan.

Dalam tempoh ini, pengurus yang mengendalikan City adalah Roberto Mancini yang kini menjawat tugas sebagai ketua pengurus pasukan kebangsaan Itali.

Bahagian ketiga merangkumi musim 2013-14 sehingga 2017-18 berkaitan dengan kepatuhan City terhadap peraturan yang disediakan oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), termasuk hal-ehwal pelesenan kelab dan Financial Fair Play.

Bahagian keempat melibatkan peraturan tentang keuntungan dan kemampanan kelab, merangkumi tiga musim dari 2015 hingga 2018.

Bahagian kelima dan terakhir merangkumi tempoh Disember 2018 sehingga masa kini, adalah berkaitan dengan kewajipan kelab untuk bekerjasama dan membantu pihak EPL dalam menjalankan siasatan melalui penyediaan dokumen dan maklumat yang telus.

Soalan yang pastinya berlegar-legar di minda kesemua penyokong adalah bagaimana kesan segala dakwaan ini terhadap City jika terbukti mereka bersalah?

Menurut pandangan Stefan Borson, seorang peguam yang pernah bertugas sebagai penasihat kewangan buat City, jika segala dakwaan dapat dibuktikan, City berhadapan denda potongan mata dalam liga ataupun dalam senario paling teruk, boleh digugurkan daripada Liga Perdana dan dipaksa untuk beraksi dalam Liga Kejuaraan, iaitu liga divisyen dua England.

Lebih teruk lagi, City juga hampir pasti bakal kehilangan khidmat pengurus, Pep Guardiola.



Sewaktu City disaman oleh pihak Liga Juara-Juara UEFA pada bulan Februari 2020, Guardiola dipetik sebagai berkata: "Saya minta pihak pengurusan City untuk sentiasa berterus-terang dengan saya.

"Jika saya dapati mereka berbohong, saya tidak akan terlibat dengan kelab lagi dan mereka tidak akan kekal sebagai rakan saya.

"Namun, pada ketika ini, saya percayakan mereka 100 peratus, jadi saya bersedia untuk mempertahankan pihak kelab disebabkan kepercayaan ini."

Jika segala dakwaan terbukti benar, Guardiola sememangnya akan beralih ke pasukan lain biarpun baru sahaja menandatangani kontrak baru.

Daripada pihak City sendiri, mereka dilaporkan telah selesai mengadakan mesyuarat tergempar dan bersedia untuk mempertahankan diri sehabis-habisnya bagi membuktikan segala dakwaan adalah tidak benar dan mereka tidak bersalah.

Perkara ini bakal dibicarakan di hadapan pihak suruhanjaya bebas dan tidak dapat dipastikan sehingga bila ia bakal berlanjutan.

Apa yang pasti, semua pihak bakal menantikan keputusan dengan penuh debaran dan perkara ini bukanlah sesuatu yang bakal membantu City dalam usaha untuk memintas Arsenal yang masih lagi mendahului mereka di puncak liga ketika ini.