Ramadan tiba lagi dan pihak Liga Perdana Inggeris (EPL) turut menghormati kewajipan pemain-pemain beragama Islam dengan meluangkan masa ketika permainan untuk mereka berbuka puasa.

Pengadil dalam EPL diarah memberhentikan seketika permainan untuk pemain-pemain beriftar.

Lazimnya, pemain-pemain beragama Islam akan menggunakan waktu singkat itu ketika permainan yang membabitkan sepak mula pada waktu malam untuk berbuka puasa dengan minuman, gel tenaga dan makanan tambahan.

Seperti dilaporkan Sky Sports, pemain-pemain berkenaan diminta menanti sehingga ada pemberhentian dalam permainan seperti sepakan gol atau lontaran ke dalam untuk pengadil mengisyaratkan masa mereka berbuat demikian.

Pasukan-pasukan juga sudah diberitahu untuk bersetuju dengan pengadil perlawanan sebelum sepak mula lagi untuk pemberhentian masa iftar.

Perlawanan-perlawanan masa lalu dalam EPL turut meluangkan masa pemberhentian seketika untuk iftar, umpamanya perlawanan liga di antara Burnley dan Southampton musim lalu, yang diberhentikan pada minit ke-41 bagi meluangkan buat Mohamed Elyounoussi dan Yan Valery berbuka puasa.

Wesley Fofana turut diluangkan masa untuk beriftar dalam perlawanan di antara Leicester dan Crystal Palace pada April 2021.



Penjaga gol Palace, Vicente Guaita, menanti untuk membuat sepakan gol dalam separuh masa pertama perlawanan dengan Leicester itu untuk Fofana, yang kini menyertai Chelsea, melepaskan dahaganya sebelum menyambung aksi.

Pemberhentian permainan buat seketika itu lebih dahulu dipersetujui kapten kedua-dua pasukan sebelum sepak mula.

Fofana kemudian membuat satu hantaran di media sosial selepas perlawanan dengan menyatakan: “Inilah yang membuat bola sepak itu indah.”

Satu perlawanan Bundesliga juga menyaksikan pemberhentian seketika buat julung-julung kalinya musim lalu untuk membenarkan bintang Mainz, Moussa Niakhate, berbuka puasa.

Sejurus masuk waktu Maghrib dalam perlawanan di antara Mainz dan Augsburg pada 6 April itu, pengadil Matthias Jollenbeck memberhentikan seketika permainan untuk pemain itu beriftar.

Pendirian EPL sebelumnya ialah untuk membenarkan permainan diberhentikan seketika jika sebuah pasukan membuat permintaan itu lebih awal tapi kali ini menghantar pesanan jelas kepada pengadil sebelum Ramadan bermula lagi.

Saingan tahap tertinggi di England menampilkan beberapa pemain beragama Islam yang berprofil tinggi termasuk bintang Liverpool, Mohamed Salah, dan Riyad Mahrez di pihak Manchester City.

Perlawanan pertama yang dijangka menyaksikan pemberhentian seketika untuk iftar dalam EPL ialah pertemuan Leeds dan Liverpool di Elland Road pada 17 April nanti.

Waktu matahari terbenam di bandaraya Yorkshire itu ialah pada jam 8.10 malam – 10 minit selepas sepak mula – dalam perlawanan yang dijangka turut menampilkan Salah.

Pemberhentian permainan harus turut berlaku ketika Arsenal menjadi tuan rumah kepada Southampton pada 21 April, hari terakhir Ramadan.

Elyounoussi kemungkinan ditampilkan untuk The Saints dalam pertemuan di Emirates itu.

Lain-lain pemain yang akan berpuasa termasuk pertahanan Chelsea, Kalidou Koulibaly, tapi tiada perlawanan yang membabitkan The Blues untuk sepak mula sebelah malam sepanjang Ramadan ini.

Selamat berpuasa.