EPL: Hodgson sedih Zaha pilih tinggalkan Palace untuk ke Galatasaray

Muzaffar Musa
July 26, 2023 11:02 MYT
Roy Hodgson meratapi kehilangan figura ikonik di Crystal Palace apabila Wilfried Zaha memilih untuk meninggalkan pasukan itu untuk menyertai pasukan gergasi Turki, Galatasaray.
Zaha merupakan pemain dengan status ejen bebas selepas kontraknya bersama Palace tamat bulan lalu dan mendedahkan pernah berada di Istanbul sebelum menolak tawaran untuk kekal di Selhurst Park.
Awal minggu ini, Zaha mengesahkan pemergiannya daripada Palace, kelab yang disertainya sejak berusia 12 tahun dan menjaringkan 90 gol daripada 458 penampilan peringkat senior, dengan mentakrifkan jersi pasukan itu sebagai kulit keduanya.
Selepas Galatasaray mengumumkan ketibaan Zaha dengan kontrak tiga tahun, Hodgson meluahkan rasa sedihnya atas pemergian penyerang itu.
"Saya amat sedih mendengar Wilf membuat keputusan untuk meninggalkan kami bagi memulakan fasa baru dalam kehidupan bola sepaknya," kata Hodgson, yang awal bulan ini disahkan akan kembali mengendalikan Palace bagi musim 2023-24.
"Saya sentiasa berharap dia komited untuk meneruskan masa depannya bersama kelab ini dan saya dapat memanfaatkan kerjasama dengannya sekali lagi musim ini.
"Saya secara peribadi mahu berterima kasih kepadanya atas segala yang dilakukannya sepanjang saya menjadi pengurusnya.
"Kelab ini kehilangan seorang figura ikonik dan walaupun kami sedih tidak dapat memujuk Wilfried untuk kekal lebih lama, kami hanya boleh mendoakan yang terbaik buat masa depannya dan keluarganya dalam pengembaraan baru mereka," katanya.
#bola sepak #Crystal Palace #Roy Hodgson #Wilfried Zaha #Liga Perdana Inggeris
;