WOLVERHAMPTON WANDERERS 0 MANCHESTER UNITED 1

Marcus Rashford masuk sebagai pemain gantian sebelum menjaringkan gol tunggal Manchester United untuk menewaskan Wolves 1-0 di Stadium Molineux sebentar tadi.

Lebih manis, kejayaan itu memastikan mereka berada dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) menjelang tahun baru 2023 sebentar nanti.

Rashford menjaringkan dua gol daripada dua perlawanan selepas kepulangannya daripada Piala Dunia Qatar 2022 tetapi kali ini, dia diletakkan di bangku pemain simpanan oleh Erik ten Hag atas sebab disiplin dan United pula kelihatan buntu untuk mencari jaringan sepanjang babak pertama.

Penyerang kebangsaan England itu dimasukkan selepas waktu rehat dan menghasilkan impak yang besar pada minit ke-76, di mana dia menggunakan kekuatan fizikalnya sebelum melepaskan penyudah untuk menewaskan penjaga gol, Jose Sa.

Rashford, tidak lama selepas itu, berhasil merobek gawang Wolves buat kali kedua tetapi jaringan itu terpaksa dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati bola terlebih dahulu terkena tangannya.

Ia merupakan tiga mata penting buat United untuk mereka memintas Tottenham di tangga keempat menjelang aksi Spurs menentang Aston Villa malam esok.