TOTTENHAM HOTSPUR 3 NOTTINGHAM FOREST 1

Harry Kane menjaringkan gol berganda untuk membawa Tottenham kembali ke landasan kemenangan dengan menewaskan Nottingham Forest 2-1 dalam perlawnanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman sendiri lewat malam tadi.

Kapten England itu menjaringkan dua gol dalam separuh masa pertama sebagai menunjukkan penguasaan penuh tuan rumah di Stadium Tottenham Hotspur, sekali gus menamatkan rentetan tiga perlawanan tanpa kemenangan dalam semua kejohanan.

Kane melakukan tandukan untuk membuka jaringan dengan menewaskan Keylor Navas seawal minit ke-11.

Dia kemudian memperoleh jaringan keduanya menerusi sepakan penalti pada minit ke-35 selepas kapten Forest, Joe Worrall, didapati mengasari Richarlison.

Asakan bertali arus Spurs ke gawang pelawat berterusan dalam babak kedua dan Son Heung-min menambah kelebihan mereka dengan menyudahkan lintangan Richarlison ke penjuru kiri bawah gawang lawan pada minit ke-62.

Worrall berhasil mengecilkan jurang jaringan buat Forest dengan menanduk masuk sepakan penjuru Felipe pada minit ke-81 tetapi ia ternyata sekadar berakhir sebagai gol sagu hati.

Penjaga gol Spurs, Fraser Forster, turut bertindak tangkas menafikan sepakan percuma Andre Ayew selepas insiden bola terkena tangan Dejan Kulusevski dalam waktu kecederaan.

Dengan kemenangan itu, dibantu kekalahan mengejut Liverpool di tangan Bournemouth, Spurs kini berkelebihan enam mata dalam kelompok empat teratas EPL, sekali gus mencerahkan peluang mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.