Tindakan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, yang menegaskan bahawa dia tiada niat untuk mempersoalkan integriti pengadil, Paul Tierney, masih belum cukup untuk menyelamatkannya daripada didakwa Persatuan Bolasepak England (FA) atas dakwaan berkelakuan tidak wajar.

Walaupun mengakui dia membenarkan dirinya hanyut dibuai emosi ketika Liverpool melepaskan pendahuluan 3-0 sebelum mencatatkan kemenangan 4-3 ke atas Spurs, ia bukan alasan untuk pengurus The Reds itu mempamerkan keraian melampau ke atas pegawai keempat perlawanan itu, John Brooks, dan berkata Tierney memiliki sejarah dengan kelab itu, di mana Klopp kemudian menegaskan bahawa dia tidak berniat untuk menyerang keperibadian pegawai itu.

Tierney, dalam pada itu, kelihatan masih bermurah hati tidak melayangkan kad merah kepada Klopp, di mana pengendali berbangsa Jerman itu mendedahkan bahawa pengadil berkenaan memberitahunya tindakan seperti itu sewajarnya dibuang padang tetapi dia memilih untuk sekadar mengeluarkan kad kuning atas nasihat Brooks.

Bagaimanapun, komen Klopp yang mendakwa pengadil berkenaan bertindak tidak menyebelahi Liverpool berdasarkan pengalamnnya sebelum ini telah mengundang padah, di mana dia kini didakwa melakukan tindakan tidak wajar dan berkemungkinan akan digantung perlawanan.

Satu kenyataan yang dikeluarkan FA berkata: "Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, didakwa atas tindakannya selepas perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Tottenham Hotspur FC pada hari Ahad, 30 April lalu.

"Pengurus itu didakwa mengeluarkan komen mengenai pegawai perlawanan dalam sidang media yang dilihat sebagai kelakuan yang tidak sepatutnya dengan mendakwa mereka berat sebelah dan/atau mempersoalkan integriti pengadil dan/atau bersifat peribadi/menyinggung perasaan dan/atau mencemarkan nama baik sukan ini."

Sebagai rekod, Klopp pernah digantung satu perlawanan pada November lalu selepas FA mencabar keputusan suruhanjaya kawal selia bebas, yang hanya mendendanya £30,000 (RM167,043), gara-gara konfrontasinya dengan penolong pengadil, Gary Beswick, sebelum diarahkan keluar padang oleh pengadil, Anthony Taylor.