Pep Guardiola memberikan amaran bahawa musim kedua Erling Haaland bersama Manchester City akan menjadi lebih baik berbanding ketika ini.

Haaland mencipta sensasi apabila menyamai rekod jaringan terbanyak semusim dalam kempen pertamanya di Stadium Etihad.

Penyerang prolifik Norway itu menjaringkan golnya yang ke-34 bersama pasukan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu -- yang ke-50 dalam kesemua kejohanan -- sewaktu menewaskan Fulham hujung minggu lalu.

Kejayaan itu menyaksikan dia menyamai rekod jaringan tertinggi yang dipegang Andy Cole dan Alan Shearer berbaki enam perlawanan musim ini.

Pemain berusia 22 tahun itu dijangka akan memecahkan rekod berkenaan menjelang kunjungan ke laman West Ham awal pagi esok.

Biarpun dengan reputasi cukup hebat dalam musim pertamanya, Guardiola berasakan potensi sebenar Haaland masih belum dikeluarkan.

Pengurus City itu berkata: "Sentiasa saya katakan mengenai Erling bahawa ia akan menjadi sukar apabila anda melihat apa yang telah dilakukannya -- dan jika dia tidak enjaringkan gol seperti yang dilakukannya ketika ini, ramai akan katakan bahawa 'Oh dia sedang berada dalam situasi buruk' -- tetapi cara permainannya masih boleh meningkat dengan banyak.

"Saya tidak katakannya mengenai dalam kawasan penalti sahaja, saya katakannya mengenai seluruh permainan, pergerakannya.

"Saya fikir dia ada perasaan itu, 'Adakah ini sudah cukup?'. Dan Saya fikir dia memiliki keinginan untuk menjadi pemain yang lebih baik.

"Selagi dia memiliki keinginan itu, dia akan menjadi lebih baik," katanya.