CHELSEA 2 NOTTINGHAM FOREST 2

Raheem Sterling kembali menemui sentuhan jaringannya apabila menjaringkan dua gol ketika Chelsea terikat 2-2 dengan Nottingham Forest dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge lewat malam tadi.

Penyokong tuan rumah mengejek pasukan mereka sendiri ketika waktu rehat selepas The Blues ketinggalan gara-gara jaringan pembukaan Taiwo Awoniyi buat Forest.

Skuad bimbingan Steve Cooper itu jelas pasukan yang lebih baik sepanjang 45 minit pertama dan kelihatan bakal membawa pulang tiga mata bagi meneruskan kelangsungan mereka dalam EPL.

Bagaimanapun, Sterling mengubah wajah perlawanan itu dalam tempoh tujuh minit babak kedua, bermula dengan memanfaatkan umpanan Trevoh Chalobah untuk melepaskan percubaan terbias yang menerjah gawang lawan pada minit ke-51 sebelum penyerang England itu melakukan gerakan solo menarik untuk meletakkan Chelsea di depan pada minit ke-58.

Pada ketika Chelsea kian galak melakukan serangan, mereka menerima padah apabila Awoniyi, yang tidak dikawal, dibenarkan bergerak bebas untuk menanduk masuk gol penyamaan Forest pada minit ke-62.

Keputusan itu menyaksikan Forest kekal dipisahkan tiga mata daripada zon penyingkiran dan penantian Frank Lampard untuk meraih kemenangan pertamanya di laman keramat Chelsea itu perlu ditunda ke perlawanan terakhir musim ini.