David Raya yakin dirinya mampu menjadi penjaga gol utama Arsenal walaupun mengakui tidak pasti akan diturunkan dalam perlawanan 'Derby London' menentang Tottenham hujung minggu ini.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu menyertai The Gunners secara pinjaman daripada Brentford musim panas lalu dan dia akan menjadi pemain tetap kelab berkenaan tahun depan.

Raya ditandatangani bagi memberikan saingan kepada Aaron Ramsdale dalam merebut posisi nombor satu di kelab itu dan melakukan penampilan pertama ketika Arsenal menewaskan Everton 1-0 hujung minggu lalu sebelum mengekalkan posisinya ketika membelasah PSV Eindhoven 4-0 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi semalam.

Keputusan Arsenal untuk mendatangkan pemain berusia 28 tahun itu bagi bersaing dengan Ramsdale menerbitkan kritikan daripada pemerhati bola sepak tetapi pengurus Arsenal, Mikel Arteta, percaya dia boleh mengekalkan kedua-dua penjaga gol berkenaan secara harmoni.

Ditanya sama ada dia dapat mengatasi aksi kukuh yang dipamerkan Ramsdale sepanjang musim lalu, Raya berkata: "Sudah pasti, itu satu perkara yang setiap pemain perlu lakukan -- meyakinkan diri anda untuk merebut tempat dalam pasukan dan disebabkan itu saya menyertai Arsenal dan akan memberikan yang terbaik buat pasukan apabila saya dipilih.

"Anda tidak tahu bila anda akan bermain dan itu adalah perkara paling sukar untuk dilakukan.

"Melakukan penampilan pertama untuk kelab seperti Arsenal dan memiliki rakan sepasukan seperti Aaron, sudah pasti ia sedikit sukar buat anda tetapi anda tidak tahu bila ia akan tiba dan anda perlu sentiasa bersedia.

"Ia satu impian menjadi kenyataan untuk bermain di tahap tertinggi, jadi saya amat gembira dapat melakukan penampilan pertama saya tetapi perkara utama dalah keputusannya dan pada akhirnya, kami mendapatkan tiga mata," katanya.