Pep Guardiola menegaskan bahawa Manchester City akan memberikan fokus sepenuhnya kepada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Everton malam esok walaupun mereka akan menghadapi Real Madrid dalam separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

City berharap dapat layak ke final UCL apabila mereka melayani tandangan pasukan gergasi Sepanyol, Madrid, awal pagi Khamis ini selepas terikat 1-1 dalam perlawanan separuh akhir pertama di gelanggang lawan Rabu lalu.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak bermakna mereka akan mengabaikan satu lagi aksi penting menentang pasukan yang bergelut di zon penyingkiran EPL, Everton, yang akan menjadi penentu penamat mereka dalam saingan liga musim ini.

Guardiola berkata dalam sidang media: "Fikiran saya hanya mengenai perlawanan menentang Everton -- tidak lebih daripada itu.

"Ia merupakan usaha selama 11 bulan dalam EPL. Kami tidak mempunyai banyak masa sebelum menentang Madrid kerana kami akan bermain pada hari Ahad -- terima kasih banyak -- tetapi kepentingan utamanya benar-benar di Goodison Park."

Madrid memiliki waktu rehat lebih sehari sebelum perlawanan timbal balik itu memandangkan mereka akan bermain dalam aksi LaLiga menentang Getafe awal pagi esok.

Guardiola juga memilih untuk bermain sehari lebih awal tetapi dia sedar tiada gunanya untuk merungut mengenai penjadualan itu.

Dia berkata: "Saya tidak faham tetapi saya tidak lagi akan merungut.

"Saya tidak memahaminya tetapi kami perlu menyesuaikan diri. Jadual itu adalah seadanya."