Mauricio Pochettino berjanji bahawa pasukannya, Chelsea, akan menyerang Manchester City habis-habisan apabila kedua-dua kelab itu bertemu di Stadium Etihad bagi perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi esok.

Pasukan juara bertahan, City,terikat 4-4 dengan Chelsea di Stamford Bridge pada November lalu, di mana bekas pemain City, Cole Palmer, menjaringkan gol penyamaan buat tuan rumah menerusi sepakan penalti dalam waktu kecederan.

Chelsea berdepan prestasi terumbang-ambing musim ini, di mana mereka tewas separuh daripada 12 perlawanan liga terakhir walaupun meraih kemenangan 3-1 ke atas Crystal Palace pada Isnin lalu.

Kemenangan ke atas pasukan bimbingan Pep Guardiola itu akan meletakkan mereka ke tangga ketujuh -- kedudukan terbaik sepanjang musim ini.

"Pengajaran daripada perlawanan pertama ialah kami akan berdepan pasukan terbaik di dunia tetapi dalam masa sama, kami perlu memiliki keberanian untuk memaksa mereka bertahan, untuk melakukan larian ke belakang dan menghadapi gol mereka.

"Jika kami hanya menunggu apa yang mereka akan lakukan, mereka adalah pasukan yang boleh mendominasi dan membuatkan anda sengsara.

"Perkara paling utama adalah untuk turun ke sana dan menjadi berani untuk mencabar mereka," katanya.