Brighton and Hove Albion melengkapkan proses menandatangani Yasin Ayari pada ketika spekulasi melibatkan masa depan Moises Caicedo kian bertiup kencang.

Ayari, pemain tengah kebangsaan Sweden, menandatangani kesepakatan selama empat setengah tahun di Brighton selepas menyertainya daripada AIK.

Pembelian pemain berusia 19 tahun itu dilaporkan memakan perbelanjaan sebanyak £5.2 juta (RM27.28 juta).


Walaupun pembeliaan Ayari dilihat sebagai pelaburan jangka panjang, dia berkemungkinan perlu menyertai pasukan utama lebih awal seandainya hasrat Caicedo untuk meninggalkan Brighton tertunai pada hari terakhir jendela perpindahan ketika ini.

Caicedo telah menyatakan hasratnya untuk meninggalkan Arsenal selepas pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal, dilaporkan telah melancarkan bidaan sebesar £60 juta (RM314.76 juta) untuk mendapatkannya minggu lalu.

Dia tidak terlibat ketika Brighton menewaskan Liverpool 2-1 dalam Piala FA hujung minggu lalu dan Arsenal dikatakan telah mengemukakan tawaran terbaru bernilai £70 juta (RM367.22 juta).

Untuk rekod, Brighton telah kehilangan seorang pemain bintang mereka kepada Arsenal, iaitu Leandro Trossard, dalam jendela perpindahan kali ini.