Roberto De Zerbi percaya Moises Caicedo dan Alexis Mac Allister layak untuk bermain di tahap lebih tinggi tetapi berharap kelayakan ke saingan Eropah mampu memenuhi keperluan dua pemain itu di Brighton.

Pemain kebangsaan Ecuador, Caicedo, dan pemenang piala dunia bersama Argentina, Mac Allister, terus hangat dikaitkan untuk meninggalkan pasukan itu menjelang musim panas ini selepas mencuri tumpuan dengan aksi terbaik mereka di Sussex musim ini.

The Albion kelihatan berpotensi mengekalkan dua pemain bintang mereka itu selepas mengesahkan kelayakan ke saingan peringkat Eropah dengan menewaskan pasukan yang akan turun liga, Southampton, 3-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu lalu.

Biarpun De Zerbi berasakan mampu untuk memujuk dua pemain itu untuk kekal di pasukannya, dia enggan menjejaskan perkembangan mereka dengan mengakui perlawanan menentang Mnchester City di Stadium Amex awal pagi esok berkemungkinan akan menjadi aksi terakhir Caicedo dan Mac Allister menyarung jersi The Seagulls.

"Ia mungkin menjadi perlawanan terakhir mereka tetapi saya tidak tahu," kata pengendali Brighton itu.

"Mereka memiliki kemungkinan untuk bertukar kelab kerana mereka layak untuk bermain di peringkat lebih tinggi.

"Tetapi kami mungkin boleh menawarkan mereka beraksi di pentas Eropah kerana tahap kami juga kini lebih besar. Kami boleh menawarkan satu lagi kemungkinan buat mereka," katanya.