ASTON VILLA 2 TOTTENHAM HOTSPUR 1

Jacob Ramsey dan Douglas Luiz muncul penjaring gol ketika Aston Villa menghidupkan peluang untuk ke saingan Liga Europa (UEL) musim depan dengan mengatasi Tottenham 2-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Villa Park lewat malam tadi.

Skuad bimbingan Unai Emery itu kini mengumpulkan jumlah mata yang sama dengan pasukan di tangga keenam, Spurs, berbaki dua perlawanan musim ini dalam perebutan tiket ke saingan peringkat Eropah musim depan.

Mereka jelas pasukan yang lebih baik daripada segenap sudut dalam pertemuan kali ini dan masih meneruskan pemburuan penamat kelompok atasan selepas bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut sebelum ini.

13 bulan lalu, Spurs membelasah Villa 4-0 di Villa Park tetapi walaupun mempamerkan aksi lebih baik dalam babak kedua malam tadi, ia jelas menunjukkan bahawa pasukan London itu masih bergelut dengan kemerosotan prestasi.

Ramsey membuka permainan dengan hantaran kepada Leon Bailey sebelum memanfaatkan lintangan rendah pemain itu di depan Pedro Porro untuk menyumbat masuk gol pembukaan Villa seawal minit kelapan.

Berbaki 18 minit terakhir, Luiz menyekat usaha Spurs dalam memburu jaringan penyamaan selepas penjaga gol mereka, Fraser Foster, kelihatan gagal berada di posisi yang sepatutnya untuk membenarkan sepakan percuma pemain itu menerjah masuk ke gawangnya pada minit ke-72.

Spurs kemudian memperoleh sepakan penalti pada minit ke-90 selepas Harry Kane dikasari oleh Emiliano Martinez tetapi walaupun penyerang prolifik itu dapat menyempurnakan sepakan berkenaan, ia jelas sudah terlalu lewat untuk mereka menafikan kemenangan Villa.