Mikel Arteta mnendedahkan bahawa dia mungkin akan bertandang ke laman Bournemouth bagi perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) malam ini tanpa lapan tonggak utama.

Dua pemain England, Bukayo Saka dan Declan Rice, mengalami kecederaan sewaktu 'Derby London' menentang Tottenham hujung minggu lalu manakala William Saliba dan Fabio Viera turut terpaksa diketepikan.

Ia memuncakkan kebimbangan Arteta selepas dua penyerang, Gabriel Martinelli dan Leandro Trossard, turut tidak dapat beraksi dalam aksi setempat berkenaan sambil Jurrien Timber dan Thomas Partey juga dipinggirkan untuk beberapa waktu.

Agensi berita PA melaporkan Saka berpeluang untuk diturun di Stadium Vitality tetapi Arteta memiliki beberapa perkara yang memeningkan kepalanya.

"Mereka semua dalam keadaan sama," katanya mengenai keadaan pemain dalam senarai kecederaan itu.

"Kami ada beberapa pilihan. Kami perlu melihatnya dan menyesuaikan diri dengan keadaan kerana ia jumlah yang ramai.

"Harapan saya agar semua mereka cergas dan dapat diturunkan kerana kami memerlukan mereka bagi menghadapi jumlah perlawanan yang banyak sepanjang dua minggu ini, khususnya dalam tempoh 10 hari ini.

"Kami memerlukan mereka, jadi harap-harap kami akan menerima berita yang baik hari ini," katanya.