Takehiro Tomiyasu akan terlepas baki kempen Arsenal yang dalam laluan tepat untuk merampas mahkota Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain antarabangsa Jepun itu terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan lutut ketika bertemu Sporting CP, minggu lalu, ketika anak buah Mikel Arteta itu tersingkir dalam dalam Liga Europa menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 di Stadium Emirates.

Berikutan kemenangan 4-1 Arsenal ke atas Crystal Palace kelmarin, Arteta mengakui situasi itu "tidak kelihatan baik" buat pertahanan terbabit.

Tomiyasu kemudian sah akan tersisih untuk baki kempen ini dan sudah pun menjalani pembedahan.



Satu kenyataan daripada kelab itu berbunyi: "“Tomi telah pun berjaya menjalani pembedahan di London malam tadi dan akan diketepikan untuk baki musim ini.

"Semua orang di kelab kini akan bekerja keras dengan Tomi supaya dia dapat menyertai latihan pramusim menjelang musim depan."

Tomiyasu beraksi dalam 21 perlawanan musim ini dan Arsenal berkelebihan lapan mata di puncak berbanding Manchester City yang mempunyai satu perlawanan di dalam tangan tatkala berbaki 10 perlawanan.