ARSENAL 3 WEST HAM 1

Arsenal tidak terkesan dengan kehilangan Gabriel Jesus apabila ketiga-tiga penyerangnya menemui sasaran ketika menewaskan West Ham 3-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Boxing Day awal pagi tadi.

The Gunners berdepan tamparan hebat apabila Jesus terpaksa berehat tiga bulan gara-gara kecederaan lutut yang dialaminya ketika mewakili Brazil dalam Piala Dunia Qatar.

Ia menimbulkan kebimbangan bahawa pendahulu liga itu akan terkesan dalam pemburuan kejuaraan liga musim ini tetapi kisah di Stadium Emirates kali ini menunjukkan sebaliknya.

Bagaimanapun, ia tidak selancar itu pada awal permainan apabila William Saliba dikesan mengasari Jarrod Bowen dalam kawasan penalti sebelum Said Benrahma menyempurnakan sepakan itu untuk meletakkan West Ham di depan pada minit ke-27.

Arus perlawanan mula berubah dalam babak kedua bermula dengan tindakan bijak Bukayo Saka mengawal bola susulan percubaan awal Martin Odegaard sebelum menewaskan Lukasz Fabianski untuk menyamakan kedudukan.

Gabriel Martinelli kemudian menggandakan kelebihan itu menerusi penyudah dari sudut sukar pada minit ke-58 dan Eddie Nketiah melengkapkan peranannya selaku pengganti Jesus menerusi satu lagi gol buat Arsenal pada minit ke-69.