EPL: Arsenal akan sentiasa cari jalan, kata Arteta selepas atasi Southampton
Muzaffar Musa
October 6, 2024 09:21 MYT
October 6, 2024 09:21 MYT
ARSENAL 3 SOUTHAMPTON 1
Mikel Arteta memberikan pujian kepada barisan pemain Arsenal selepas mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates lewat malam tadi.
Pengendali itu berkata pasukannya akan sentiasa mencari jalan untuk mendapatkan kemenangan.
Dalam perlawanan itu, Arsenal bangkit selepas ketinggalan gara-gara gol pembukaan Cameron Archer buat Southampton untuk mencatatkan kemenangan ke-400 dalam perlawanan liga di laman sendiri, di mana Kai Havertz, Gabriel Martinelli dan Bukayo Saka menemui sasaran.
Kemenangan itu juga menyaksikan The Gunners menuju ke waktu rehat antarabangsa di tangga ketiga EPL dengan 17 mata, hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu liga, Liverpool dan dibezakan jumlah jaringan dengan Manchester City.
Pasukan bimbingan Arteta itu mendaftarkan 14 percubaan tepat sepanjang babak pertama tetapi hanya satu percubaan tepat dapat dilakukan mereka hasil usaha Thomas Partey menjelang ke bilik persalinan.
Kemasukan Martinelli, Leandro Trossard dan Mikel Merino dalam babak kedua meningkatkan permainan The Gunners sebelum Havertz menyamakan kedudukan.
"Permulaannya amat luar biasa, dominasinya, peluang. Sukar dipercayai kami tidak dapat mendahului satu, dua atau tiga gol," kata Arteta.
"Kami dibolosi dan selepas itu, barulah permainan sebenar bermula.
"Saya fikir pasukan ini memberikan reaksi dengan amat bertenaga dan saya gembira pasukan dapat memberikan reaksi seperti ini -- tetapi tidak gembira dengan peluang yang kami ada dan masih perlu melalui perkara seperti itu.
"Pertukaran pemain mengubah tenaga dan kami dapat rasakan sokongan daripada penyokong.
"Kami menang pada akhirnya dan saya fikir kami layak mendapatkannya. Pasukan ini akan sentiasa mencari jalan," katanya.