EPL: Ange Postecoglou 'tidak minat' ke Liverpool
Muzaffar Musa
February 17, 2024 11:32 MYT
February 17, 2024 11:32 MYT
Ange Postucoglou berkata Tottenham masih terlalu jauh untuk bermain cara bola sepak yang dimahukannya dan tidak berminat dengan cakap-cakap bahawa dia akan menggantikan Jurgen Klopp di Liverpool musim ini.
Klopp pada bulan lalu mengumumkan bahawa dia akan meninggalkan Anfield hujung musim ini selepas sembilan tahun bersama kelab itu.
Liverpool dilaporkan menyenarai pendek Postecoglou sebagai calon menggantikan Klopp dengan ketua jurulatih Bayer Leverkusen, Xabi Alonso, dilihat sebagai pilihan utama dalam senarai berkenaan tetapi pengurus Spurs itu hanya mahu fokus kepada pasukannya.
"Saya mungkin berada dalam senarai pendek? Saya tidak fikir saya mahu bercakap mengenainya kerana saya tidak fikir ia akan masuk ke dalam fikiran saya yang dipenuhi dengan kepentingan dalam hidup dan kerjaya saya ketika ini," katanya menjelang kunjungan ke laman Wolves malam ini.
"Saya baru sahaja bermula di Tottenham. Saya baru berada di sini selama tujuh bulan, jadi ia penjelasan yang cukup untuk diri saya.
"Saya ada cabaran bahawa kami masih ada perjalanan yang panjang dalam mendapatkan bola sepak yang kami mahukan, pasukan yang kami mahukan dan skuad yang kami mahukan.
"Kami memiliki dua jendela perpindahan yang positif, saya fikir kami memiliki kempen yang amat baik setakat ini tetapi ia masih satu perjalanan yang panjang.
"Buat masa ini, ia tentang untuk menamat musim ini sekuat mungkin bersama Tottenham dan memastikan kami mencuba untuk mewujudkan satu asas yang kukuh untuk apa yang kami mahu jadi dalam tahun-tahun mendatang.
"Ia hanya akan berlaku jika saya benar-benar fokus dan apa yang akan terjadi dalam 14 perlawaanan terakhir ini buat kami," katanya.
Ditanya sama ada dikaitkan ke Liverpool merupakan satu pujian, Postecoglou menambah: "Bergantung. Jika ia hanya nama yang diletakkan seseorang, siapa kisah?"