Pasukan kebangsaan England berada di posisi cukup selesa, malah membanggakan ketika ini. Rekod mereka dalam Kumpulan C pusingan kelayakan Euro 2024 menyaksikan rekod enam kemenangan dan satu seri, gah di puncak.

Lebih menggembirakan, menurut laporan The Guardian, pengurus pasukan, Gareth Southgate sedar bahawa England sudah pun mencatatkan kedudukan sebagai pasukan ketiga terbaik dunia dalam senarai rasmi FIFA ketika ini tetapi perjuangan mereka masih jauh daripada selesai.

“Mungkin kami berada di kedudukan ketiga sekarang tetapi kami masih dua kedudukan jauhnya daripada matlamat,” ujar Southgate dengan tegas, menandakan tekadnya untuk menjadikan England sebagai pasukan kebangsaan terbaik dunia.

Aspek motivasi pasukan merupakan sesuatu yang perlu diberikan perhatian ketika ini. Apatah lagi, aksi menentang Malta hujung minggu lalu mempamerkan persembahan kurang memberangsangkan biarpun kemenangan 2-0 dikecapi akhirnya.

Pihak media England mencadangkan bahawa pemain tidak beraksi dengan sepenuh hati kerana kelayakan ke Euro 2024 telah pun dipastikan.

Tetapi Southgate menafikan perkara ini sekeras-kerasnya, malah memberikan peringatan agar anak-anak buahnya sedar yang mereka perlu menunjukkan persembahan berkelas tinggi dalam mana-mana perlawanan sekalipun jika mahu digelar sebagai pasukan disegani.

Pencapaian England dipacu oleh penyerang utama, Harry Kane, yang seolah-olah tidak mampu berhenti menjaringkan gol saban minggu bersama kelabnya Bayern Munich ketika ini, didorong oleh Jude Bellingham yang turut sama mencatatkan persembahan demi persembahan mengagumkan bersama Real Madrid.

Perlawanan menentang Malta kelmarin pula menyorot seorang lagi pemain yang tidak kurang pentingnya – Declan Rice di bahagian tengah bertahan.

Dengan Bellingham direhatkan akibat kecederaan, England beraksi pada separuh masa pertama dengan menampilkan tiga pemain yang agak menghairankan di bahagian tengah tersebut – Trent-Alexander Arnold, Conor Gallagher dan Jordan Henderson.

Pemilihan Alexander-Arnold merupakan satu eksperimen oleh Southgate yang ingin menggunakan hantaran tajamnya demi menghasilkan pembukaan untuk serangan manakala Gallagher pula diberikan peluang beraksi setelah menampilkan aksi yang semakin maju bersama Chelsea.

Henderson yang sudah pun berusia 33 tahun dan beraksi di Liga Profesional Arab Saudi merupakan pilihan paling aneh, dan terbukti dia menghadapi kesukaran untuk mengekang pemain-pemain lawan daripada melakukan serangan.

Laman sesawang goal.com memberikan penilaian serendah 2/10 terhadap Henderson dan menggambarkan persembahannya sebagai sesuatu yang mengerikan.

Apabila Rice dimasukkan pada separuh masa kedua, barulah bahagian tengah England kelihatan stabil dan kukuh semula, mendorong kepada aksi yang jauh lebih baik dan disempurnakan oleh gol Kane pada minit ke-75.



Kesudian Southgate untuk memberikan peluang kepada pemain-pemain muda seperti Rico Lewis dan Cole Palmer untuk membuat penampilan sulung merupakan satu perkara positif dan

memastikan England mempunyai sandaran yang boleh diharapkan seandainya pemain penting dilanda kecederaan, di samping memastikan pelapis berkemampuan tersedia buat masa akan datang.

Tetapi kesetiaan Southgate menyenaraikan pemain-pemain yang disayanginya, misalnya Henderson serta Harry Maguire yang terumbang-ambing pada awal musim menimbulkan sedikit sebanyak rasa khuatir penyokong.

Apabila melibatkan kemenangan, sejauh manakah kesetiaan mampu bertahan?

Berjaya atau tidak dalam pertandingan yang akan datang, hakikatnya adalah England merupakan pasukan yang teramat kuat sekarang.