Jurgen Klopp memberi gambaran bahawa tidak akan tersenarai Virgil van Dijk dalam kunjungan Liverpool ke Manchester City, minggu depan.

Van Dijk kembali menjalani latihan bersama Liverpool di Dubai minggu ini di sebalik penyingkiran Belanda daripada Piala Dunia selepas tumbang kepada Argentina, Sabtu lalu.

Pemain berusia 31 tahun itu memainkan peranan penuh dalam kelima-lima perlawanan negaranya dalam kempen di Qatar -- termasuk masa tambahan dalam kekalahan suku akhir kepada Argentina -- yang berjumlah 480 minit permainan.

Justeru, Klopp enggan tergesa-gesa dengan kemunculan semula Van Dijk menjelang pertembungan pusingan 16, Piala Liga Inggeris (EFL) , sementara dia masih belum dapat menentukan kedudukan duo England, Jordan Henderson dan Trent Alexander-Arnold.

Henderson tidak menghabiskan ketiga-tiga perlawanan England membabitkannya, manakala Alexander-Arnold hanya diturunkan selama 33 minit sepanjang lima perlawanan The Three Lions.

“Ya, sudah tentu ada peluang -- mereka kembali berlatih,” kata Klopp kepada laman sesawang rasmi Liverpool apabila ditanya sama ada mana-mana pemain Piala Dunia yang kembali akan beraksi menentang City.

"Hendo sudah berlatih di sini. Virgil sedang berlatih di sini, tetapi saya tidak fikir kami akan cuba (menurunkan mereka). Kami akan pantau keadaan Hendo, begitu juga Trent.


"Tetapi kumpulan pemain ini sudah bekerja keras selama hampir dua minggu dan kami membuat langkah sebenar dan ia adalah langkah yang bagus. Saya tidak pasti pada masa ini.

“Saya harap kami dapat melaluinya dan kami sedar di England dan di Eropah secara amnya, terdapat sejenis virus yang sedang merebak, jadi kami berharap kami dapat menjauhinya.

"Kemudian kami akan membuat keputusannya pada Rabu ini tentang siapa yang boleh diturunkan Khamis ini (awal pagi Jumaat). Tetapi ia sesuatu yang bagus dan akan menjadi perlawanan yang sangat menarik selepas itu, tetapi saya menantikannya."