Dua pilihan menanti Totti

Penulis Jemputan
July 10, 2017 09:09 MYT
Presiden Tokyo Verdy, Hideyuki Hanyu, yakin bekas penyerang Itali, Francesco Totti, tidak akan menyertai mana-mana pasukan dalam Liga MLS Amerika Syarikat, sebaliknya akan memilih sama ada untuk kembali ke Roma atau menyarung jersi pasukan Liga J2 Jepun itu.
Totti meninggalkan AS Roma pada penghujung musim lalu, namun sehingga kini masa depan pemain berusia 40 tahun itu masih menjadi tanda tanya.
“Saya diberitahu oleh ejen bahawa Totti hanya mempunyai dua pilihan.
“Dia boleh kembali ke Roma atau bermain untuk Verdy tetapi bukan berhijrah ke Amerika,” kata Hanyu.
“Memang wujud tawaran daripada Miami serta Los Angeles, namun ia tidak akan berlaku.
“Ramai penyokong mahu Totti menamatkan kariernya di Roma, jadi dia perlu membuat keputusan yang bijak,” tambahnya.
Pengendali baru Roma, Eusebio Di Francesco, sebelum ini mengeluarkan kenyataan menjangkakan Totti bakal menerima jawatan pengarah pasukan.
Bagaimanapun, Hanyu mahu mendapatkan khidmat Totti dan yakin pemenang Piala Dunia 2006 itu dapat beraksi menentang Kamatamare Sanuki pada 22 Julai jika menerima tawaran yang diberikan.
"Kami tidak memberikannya tawaran jika tidak memiliki wang," ujar Hanyu.
Liga J2 Jepun kini memasuki pusingan kedua dan Tokyo Verdy kini berada di tangga kelima, sembilan mata di belakang pendahulu, Shonan Bellmare.
#Francesco Totti
;