Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mempertahankan hukuman dikenakan terhadap jurulatih Pahang, Dollah Salleh, dan pada masa yang sama mengakui mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M) masih di tahap rendah.

Menurut Tunku Ismail, mana-mana jurulatih boleh memberi komen berkenaan prestasi pengadil dan membuat laporan mengikut saluran yang betul, bukan tuduhan melulu seperti dilakukan Dollah.

Bekas ketua jurulatih kebangsaan itu digantung 18 bulan serta denda RM30,000 selepas mengecam mutu pengadilan ketika perlawanan Pahang menentang Felda United, 1 Julai lalu.

“Dollah seolah-oleh menuduh pihak pengurusan tertinggi FAM mengatur perlawanan. Namun dia boleh membuat rayuan dalam tempoh 10 hari.

“FAM sedang memperbaiki kelemahan mutu pengadil tempatan, antaranya membawa pengadil dari luar negara, untuk mengadakan kursus,” ujarnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam mesyuarat kali kedua itu juga, Tunku Ismail mencadangkan kepada Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) untuk mengkaji semula jadual pertandingan Liga M musim 2018.

Cadangan itu diutarakan bagi mengelak masalah pelepasan pemain kepada pasukan kebangsaan terus menjejaskan persiapan skuad negara.

Pertemuan turut akan diadakan dengan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) dan FMLLP bertujuan menilai masa yang sesuai untuk liga tempatan dijalankan.

“Antara perkara lain yang dibincangkan ialah peranan pengarah teknikal baharu, isu penajaan dan penglibatan beberapa syarikat seperti Astro serta kes mahkamah melibatkan MP & Silva,” tambah Tunku Ismail lagi.

Sementara itu, FAM turut mengesahkan pelantikan Bojan Hodak selaku ketua jurulatih skuad bawah 19 tahun negara manakala Datuk Ab. Ghani Hassan sebagai pengurus pasukan.