Biarpun dikenali dengan watak bengis di atas padang, Diego Costa, tidak malu untuk mengakui bahawa dia berada dalam keadaan yang begitu ketakutan ketika terpaksa menjalani penggambaran dengan serigala sebenar untuk video pengumuman menyertai Wolverhampton Wanderers.

Bekas penyerang Sepanyol kelahiran Brazil itu kembali mewarnai Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan dengan mengikat kontrak setahun.

Daily Mail melaporkan bekas bintang Chelsea dan Atletico Madrid itu yang menganggur sejak meninggalkan kelab Brazil, Atletico Mineiro, pada awal tahun ini bakal menjadi sandaran baru buat kelab bimbingan Bruno Lage tersebut yang hanya mencetak tiga jaringan dalam enam perlawanan setakat ini.

"Saya takut macam nak mati. Ketika memegang rantai anjing itu saya terus terlintas, 'bagaimana kalau serigala ini melompat ke atas saya dan mereka bertiga melakukannya sekali gus'," katanya dalam video media sosial kelab yang memaparkan dia memegang rantai yang mengikat tiga ekor serigala.



"Wanita yang merupakan pelatih serigala tersebut terus memanggil bagi meminta mereka supaya bergerak sedikit tetapi tidak diendahkan. Apabila ia datang menghidu saya, saya rasa ketika itu habislah saya.

"Saya agak takut ketika itu. Ia adalah serigala, bukannya anjing. Ia adalah satu pengalaman yang menarik tetapi tidak begitu selesa. Saya mempunyai lima ekor anjing tetapi mereka bukannya serigala!"