Angel Di Maria memperingati kejayaan Argentina dalam Piala Dunia Qatar dengan mencacah tatu trofi berkenaan di kakinya.

Pemain sayap itu memainkan peranan penting ketika La Albiceleste bergelar juara dunia buat kali ketiga baru-baru ini, di mana mereka menewaskan Perancis dalam penentuan penalti aksi final paling dramatik sepanjang zaman.

Di Maria dijatuhkan dalam kawasan penalti untuk Lionel Messi membuka jaringan buat Argentina sebelum dia menggandakan kelebihan itu menerusi satu gerakan serangan balas menawan.

Bintang Juventus itu dikeluarkan sebelum Perancis bangkit mengikat kedudukan 3-3 dan Argentina kemudian memenangi penentuan penalti 4-2.

Keraian Argentina jelas masih belum reda dan Di Maria kini memahat memori kekal ditubuhnya bagi memperingati pencapaian terbesar sepanjang kariernya itu dengan tatu trofi berkenaan di paha kanannya.

Sebagai rekod, ia bukan tatu trofi pertama yang pernah dicacah Di Maria di tubuhnya dengan sebelum ini, dia turut memiliki lakaran tatu Copa Amerika di paha kirinya susulan kejayaan Brazil menewaskan Argentina dalam final kejohanan berkenaan tahun lalu.