PSG 2 LILLE 1

Angel Di Maria melengkapkan kebangkitan Paris Saint-Germain (PSG) untuk menewaskan Lille 2-1 dalam perlawanan Ligue 1, yang menyaksikan Lionel Messi dikeluarkan pada pertengah permainan, awal pagi tadi.

Tahap kecergasan Messi menjadi tanda tanya menjelang pertemuan di Parc des Princes itu selepas dilihat tidak menyertai sesi latihan pada hari sebelumnya.

Ia menyaksikan kemarau golnya dalam Ligue 1 berterusan selepas dikeluarkan pada separuh masa.

Gol pembukaan Jonathan Davids pada minit ke-31 memberikan pendahuluan buat juara bertahan Ligue-1, Lille, dalam usaha mereka untuk meraih kemenangan ketiga berturut-turut ke atas PSG tetapi Marquinhos kemudian menyamakan kedudukan pada 16 minit terakhir sebelum Di Maria menjaringkan gol kemenangan PSG pada lewat permainan.

PSG kendalian Mauricio Pochettino kini telah memenangi kesemua lapan perlawanan di laman sendiri musim ini dan menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol dalam setiap pertemuan itu.

Mereka kini berkelebihan 10 mata di puncak Ligue 1 tetapi telah beraksi lebih satu perlawanan berbanding pasukan ditangga kedua, Lens.

Pasukan Paris itu seterusnya akan bertandang ke laman RB Leipzig bagi pertemuan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi Khamis ini.