Simone Inzaghi mengesahkan pemulihan Romelu Lukaku akan memakan sedikit masa tetapi pengurus Inter itu masih berasakan pasukannya berkeupayaan tinggi tanpa penyerang utama mereka tersebut apabila menentang Milan dalam 'Derby della Madonnina'.

Kedua-dua seteru kota itu bakal berentap buat pertama kali di San Siro hujung minggu ini sejak Nerazzurri menewaskan Milan dalam separuh akhir Coppa Italia penggal lalu.

Bagaimanapun, Rossoneri memenangi perebutan Serie A selepas Inter kehilangan kekuatan di jentera serangan berikutan perpindahan Lukaku ke Chelsea.

Pemain Belgium itu mengharungi musim mengecewakan di London sebelum memutuskan untuk kembali ke Inter secara pinjaman, tetapi kecederaan paha mengetepikan kelibatnya menjelang perlawanan terbesar mereka setakat musim ini.

Inzaghi menegaskan pasukannya akan mengatasi kehilangan Lukaku apabila berkata dalam sidang akhbar pra-perlawanan: "Jangkaan kami adalah Lukaku pulih sebelum rehat antarabangsa. Ia akan mengambil sedikit masa tetapi kakitangan perubatan sedang berusaha untuk pemulihannya. Kami perlu bersedia untuk menghadapi kemungkinan ini."




Inzaghi membincangkan pelbagai dilema pemilihan barisannya sempena pertemuan derby itu memandangkan pertahanan tengah, Alessandro Bastoni, terlepas kemenangan 3-1 menentang Cremonese pada pertengahan minggu ini kerana demam.

"Dia tidak 100 peratus cergas sebelum perlawanan Cremonese akibat demam dan dalam dua hari ini dia masih tidak sihat," katanya.

“Saya akan membuat keputusan sebaik sahaja dia kembali berlatih bersama kumpulan pemain.

"Untuk serangan, saya boleh memilih antara tiga pemain selain memikirkan siapa yang akan menyokong Lautaro Martinez.

“Joaquin Correa beraksi dengan sangat baik dan menjaringkan gol, Edin Dzeko pula melakukan tugas yang hebat.

"Saya juga perlu memilih di posisi yang luas. Robin Gosens sudah berehat selama enam bulan. Sekarang ini saya lebih suka membiarkan dia merebut tempat. Saya akan memutuskan antara dia, Federico Dimarco dan Matteo Darmian untuk menggalas tugas dalam derby."