DERBI MARADONA BAKAL CURI TUMPUAN

Suzana Basri
December 19, 2023 13:41 MYT
Dalam meniti zaman kegemilangan, ikon bola sepak dunia, Diego Maradona pernah menyarung jersi dua pasukan hebat dari dua buah negara, Barcelona dan Napoli – ironinya kedua-dua pasukan ini akan bertemu di pusingan 16 terbaik Liga Juara Juara Eropah (UCL) pada Februari 2024 dan pemerhati bola sepak menggelarnya sebagai Derbi Maradona.
Maradona yang turut diingati sebagai The Hand of God hanya menyertai Barcelona dari musim 1982 hingga 1984 tetapi keberadaannya di Nou Camp tetap meninggalkan kesan yang mendalam kepada penyokong kelab Sepanyol itu sehingga kini.
Impak yang sama juga dirasai penyokong setia Napoli – malah mungkin lebih lagi kerana Maradona menghabiskan 6 tahun usianya selepas itu di Naples – menjadi salah satu perkara yang dipersetujui semua ketika ketegangan di utara dan selatan Itali memuncak.
Kini selepas 3 tahun pemergian Maradona akibat serangan jantung yang meragut nyawanya pada usia 60 tahun, ada ego yang perlu dipertahankan Barcelona dan Napoli – menjadikan pertembungan diantara juara bertahan La Liga dan Serie A ini adalah untuk membuktikan pasukan mana yang memiliki lebih prestij serta seterusnya layak menjulang trofi di Wembley nanti.
Begitupun, pergelutan ini tidak dapat dipastikan sebagai sesuatu yang memberi manfaat kepada pemenangnya atau pun tidak. Ini kerana rata-rata pasukan yang turut lolos ke pusingan ini diundi berdepan lawan yang dilabel lebih mudah – sebagai contoh pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal berdepan kelab Portugal, FC Porto dan penyandang kejuaraan, Manchester City pula menentang kelab Denmark, FC Copenhagen.
#Barcelona #Napoli #Diego Maradona
;