“Perkara itulah yang membezakan seorang pemain hebat dengan pemain yang sekadar mempunyai potensi besar.”
Begitu ujar pengurus berstatus legenda, Jose Mourinho, sewaktu dia mengendalikan Tottenham Hotspur beberapa tahun lalu.
Ayat itu diucapkan khas buat pemain bernama Dele Alli, seorang yang malangnya kini dikenali ramai gara-gara menjadi contoh bagaimana pemain yang pada awalnya dilaporkan bakal mempunyai masa depan cerah akhirnya terjerumus teruk dan sekadar mampu berkecimpung bersama kelab-kelab kecil, itu pun bukan sebagai pemain kesebelasan utama.
Setelah sekian lama tidak mendengar khabar tentangnya, akhbar Daily Mail semalam menerbitkan pelbagai laporan yang menyorot temu bual eksklusif Dele bersama bekas pemain Manchester United, Gary Neville, dalam program The Overlap, di mana dia mendedahkan rahsia-rahsia yang dipendam sekian lama dalam hidupnya.
Menurut Dele, dia mengharungi zaman kanak-kanak yang begitu perit sekali, bermula dengan perceraian ibu-bapanya pada usia yang sangat muda, lalu mendorongnya untuk mula merokok seawal umur 7 tahun dan menjadi pengedar dadah setahun kemudian.
.jpg)
Dia turut mengakui bahawa dia mengalami masalah ketagihan pil tidur baru-baru ini, di samping masalah ketidakstabilan mental yang tidak dihuraikan lebih lanjut, namun berjaya memujuk dirinya untuk mendapatkan rawatan profesional.
Jika ditanya kepada khalayak ramai punca kejatuhan Dele, ia mungkin dikaitkan dengan masalah kecederaan yang tidak henti-henti membelenggunya, namun ini bukanlah satu-satunya faktor.
Sepanjang tempoh tiga tahun dari 2018 hingga 2020, statistik menunjukkan Dele telah mengalami kecederaan sebanyak tujuh kali, dengan empat kali daripadanya merupakan kecederaan hamstring – kecederaan yang diketahui ramai sebagai sesuatu yang memerlukan banyak masa untuk pulih dan mengganggu prestasi.
Mungkin ada juga yang merujuk kepada aspek ketidaksepadanan Dele dengan pengurus-pengurus yang pernah mengendalikannya sebagai satu lagi faktor pendorong kejatuhan.
Rancangan dokumentari eksklusif Tottenham berjudul All or Nothing mendedahkan bagaimana Mourinho memandang tinggi potensi yang Dele miliki.
Kerana itulah dia memilih untuk memberikan nasihat dan dorongan secara peribadi agar Dele dapat memajukan diri dan menghentikan segala aspek tidak konsisten yang menghindarkannya daripada terus menjadi seorang pemain yang lebih baik.
Namun, malang sekali, Mourinho nampaknya lambat-laun hilang kesabaran dan memutuskan untuk tidak lagi memilih Dele sebagai pemain kesebelasan utama buat jangka masa panjang.
Perkara ini turut disebutkan oleh Dele dalam rancangan The Overlap, di mana dia mendedahkan pernah terfikir untuk bersara sahaja seawal usia 24 tahun kerana terlalu kecewa dengan layanan yang diberikan dan seolah-olah sudah tawar hati dengan dunia bola sepak.
Nasib Dele nampaknya tidak bertambah baik biarpun selepas Mourinho meninggalkan Tottenham kerana pengurus-pengurus berikutnya turut sama gagal untuk memulihkan semula potensinya.
Nuno Espirito Santo mengetengahkan gaya permainan yang kurang memberangsangkan dan menjadikan serangan pasukan begitu tumpul hingga mengehadkan sebarang sumbangan yang boleh Dele berikan.
Antonio Conte pula menuntut aspek yang lebih mementingkan keupayaan fizikal berbanding teknikal daripada pemain-pemainnya, di mana kebolehan merebut semula bola yang hilang diberikan keutamaan, sekali gus menjadikan Dele sebagai pemain yang tidak diperlukan.

Sejak dijual ke Everton pada 2021 sehingga sekarang, Dele hanya ditampilkan sebanyak 13 kali, dengan tiada sebarang gol berjaya dijaringkan.
Dia dipinjamkan ke kelab Turkiye, Besiktas, pada musim lalu dan meraih tiga gol dalam 15 penampilan, namun prestasi keseluruhannya cukup teruk sehinggakan kelab itu memutuskan untuk membatalkan persetujuan pinjaman, maka kembalilah semula Dele ke Everton ketika ini.
Tahun ini, Dele cuma berusia 27 tahun -- usia yang masih cukup muda dan boleh dianggap sebagai waktu kemuncak untuk ramai pemain.
Mampukah dia akhirnya menemui semula sinarnya yang hilang buat sekian lama setelah mendedahkan segala rahsia peribadi yang memakan dirinya selama ini?
Hanya masa bakal menentukan.