Aksi longlai pertahanan Arsenal, David Luiz ketika Gunners tumpas 3-0 di tangan Manchester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) baru-baru ini menjadikan pemain Brazil itu kecaman peminat kelab London Utara itu.

Namun bekas pertahanan Arsenal, Martin Keown pula berasa Luiz sebenarnya seorang pemain yang mempunyai kualiti.

Keown berasa masalah utama Luiz ialah kesukarannya menyesuaikan diri dengan sistem empat pemain pertahanan.

"Luiz bermain baik di Chelsea sebelum ini kerana mereka bermain dengan tiga pemain pertahanan sebelum ini.

"Dalam sistem empat pemain pertahanan, anda perlu berkomunikasi dengan baik dengan pasangan anda di posisi pertahanan tengah.

"Ia tugas tenaga kejurulatihan Arsenal untuk memastikan Luiz bermain dengan pemahaman jelas peranannya sebagai bek tengah.

"Jika saya masih bermain, saya percaya kami mampu bergandingan dengan baik kerana Luiz sebenarnya mempunyai kemampuan yang baik di udara.

"Tetapi apa yang penting adalah kami perlu berkomunikasi dengan baik di dalam padang," kata Keown dalam siaran terkini Man On The Street (MOTS) yang bersiaran pada 9 malam, 25 Jun ini di saluran CH813 Astro Supersport 3.

MOTS adalah rancangan terbitan Astro Supersport yang memberi peluang buat peminat bertemu dengan pemain kegemaran mereka dan berbincang perbagai topik.


Mengulas mengenai skuad Arsenal kini, Keown berasa pemilik kelab Stan Kroenke perlu sedia memberi sokongan kewangan buat pengurus pasukan Mikel Arteta membentuk skuad ampuh.

"Saya percaya tiada masalah buat Kroenke melakukan pelaburan untuk membantu Arteta membentuk pasukan.

"Bagi saya Arteta seorang jurulatih yang bagus kerana dia pernah bekerja dengan Pep Guardiola.

"Hanya dia perlu segera mencari keseimbangan dalam skuad Arsenal dan memastikan formasi terbaik yang mampu memberi kesan positif," kata Keown.

Dalam pada itu Keown akui bekas pengurus Gunners, Arsene Wenger adalah individu yang menjadikannya pemain yang lebih baik.

"Saya seorang yang tidak minum alkohol dan dari usia muda saya sentiasa menjaga kecergasan saya.

"Pada musim panas, saya kerap berlatih dengan berlari dan melakukan senaman meskipun tidak menghabiskan terlalu banyak masa di gimnasium.

"Apabila Wenger tiba, dia juga sependapat dengan saya bahawa seseorang pemain perlu tahu menjaga kecergasan dan diet pemakanan dengan baik.

"Dia juga seorang yang percaya dengan kemampuan saya sebagai seorang pemain walaupun saya ketika itu mencecah usia 30 tahun," kata Keown.

Keown juga berasa bekas penyerang Arsenal, Nicolas Anelka mungkin terlalu awal meninggalkan kelab itu pada 1999.

Bagi Keown, mungkin Anelka berupaya meraih lebih banyak kejuaraan jika kekal lebih lama di Arsenal.

"Saya tidak pernah lihat pemain muda berusia 17 tahun yang cukup berbakat seperti Nicolas Anelka.

"Dia seorang yang pendiam, tetapi setiap pemain di Arsenal ketika itu mudah mesra dengannya.

"Ketika itu dia mendapat tawaran Real Madrid dan mungkin dia mahu mencuba pengalaman baru di sana ketika itu.

"Tetapi saya percaya apa yang Thiery Henry capai di Arsenal, Anelka mampu melakukannya jika dia kekal dalam pasukan, “kata Keown.