David Luiz melengkapkan perpindahannya ke Flamengo selepas meninggalkan Arsenal pada penghujung musim lalu.

Pemain berusia 34 tahun itu kembali ke kampung halamannya selepas 14 tahun meninggalkan Vitoria untuk mewakili kelab Eropah seperti Benfica, Chelsea, Paris Saint-Germain (PSG) dan Arsenal.

Dia memenangi 19 trofi sepanjang tempoh itu, termasuk dua era berbeza di Stamford Bridge, selain membantu Brazil memenangi Piala Konfederasi 2013.

Selepas dikaitkan dengan pelbagai pasukan sejak tempoh dua tahunnya bersama Arsenal tamat pada Jun lalu, David Luiz kini sah memeterai kesepakatan dengan kelab yang berpangkalan di Rio de Janeiro, Flamengo, sehingga Disember 2022.

Pertahanan berpengalaman itu merupakan pemain keempat yang didatangkan Flamengo dalam jendela perpindahan kali ini selepas Camilo Duran, Andreas Pereira dan Kenedy.