Pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Daud Bakar, melalui laman rasmi Instagramnya berasa lega selepas berjaya melunaskan semua hutang para pemain dan juga pegawai kelab itu pada musim lalu.

Dia akui sentiasa dalam kesedihan sejak lapan bulan yang lalu kerana tidak berjaya melaksanakan tanggungjawabnya dalam membayar gaji tetapi kini semua masalah berkenaan gaji telah diselesaikannya.


A post shared by Kedah Darul Aman Football Club (@kedahdarulamanfc)



Sebelum ini dia terpaksa berlapang dada selepas tidak lagi menerima sebarang bantuan daripada pihak Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan masalah tunggakan gaji yang menghantui pasukan dari Utara itu hingga menyebabkan mereka kehilangan mata dan didenda sebelum saingan Liga Super 2024/2025 bermula.

"Hari ini saya paling gembira juga kerana berjaya melunaskan hutang gaji tertunggak kepada pemain dan pegawai Kedah Darul Aman FC bagi tahun 2023.

"Saya tahu mereka dan keluarga banyak menghadapi kesukaran disebabkan kelemahan saya. Tapi mereka amat penyabar. Saya gembira kerana berjaya menunaikan tanggungjawab dunia dan agama iaitu gaji kepada mereka yang berhak."

"Sejak 8 bulan yang lalu, saya rungsing, sedih dan penat minda kerana gagal melaksanakan tanggungjawab. Hari ini saya boleh senyum semula." katanya.