Daley Blind umum bersara peringkat antarabangsa
Muzaffar Musa
August 15, 2024 11:05 MYT
August 15, 2024 11:05 MYT
Daley Blind mengumumkan persaraannya daripada tugasan antarabangsa bersama Belanda.
Pertahanan itu melakukan penampilan pertama ketika menentang Itali pada 2013 dan menghimpunkan 108 penampilan buat negaranya -- rekod kelima terbanyak dalam sejarah Belanda -- selain menghasilkan tiga gol.
Dia merupakan sebahagian daripada skuad Belanda yang mara ke separuh akhir Euro 2024 walaupun hanya membuat satu penampilan sebagai pemain gantian dalam perlawanan pusingan 16 menentang Romania.
"Ia adalah satu penghormatan untuk memakai jersi jingga ini sebanyak 108 kali. Bagi saya, ia adalah pencapaian tertinggi sebagai pemain, mewakili negara anda," kata Blind dalam catatan di media sosialnya.
"Selama 11 tahun, saya telah melakukan segala yang saya mampu untuk terus menyarung seragam Oranje yang indah ini. Ia telah memberikan saya begitu banyak, sebegitu banyak detik indah. Saya menghargainya.
"Generasi baru yang berbakat akan datang dan selepas berbincang sebaiknya dengan jurulatih kebangsaan, inilah masanya untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kelab dan keluarga saya.
"Sekali lagi, ia adalah satu penghormatan yang hebat! Ia adalah tahun-tahun yang hebat. Terima kasih jurulatih, kakitangan, rakan sepasukan dan sudah tentu, legion Oranje!
"Saya akan merinduinya. Terima kasih kepada semua."