Covid-19: Pro League Belgium ditamatkan, Brugge dinobat juara

Muzaffar Musa
May 16, 2020 11:53 MYT
Pro League Belgium memilih untuk menamatkan musim ini dan Club Brugge dinobatkan sebagai juara.
Perhimpunan umum dilangsungkan secara maya semalam dan kelab-kelab terlibat mempersetujui keputusan daripada penganjur untuk menamatkan musim 2019-20, yang telah ditangguhkan sejak Mac lalu disebabkan pandemik Covid-19.
Kesemua 16 pasukan dalam liga divisyen utama itu telah beraksi dalam 29 perlawanan sebelum ia dihentikan dengan Brugge berada di tangga teratas dengan kelebihan 15 mata di depan Gent.
Liga musim ini kini diumumkan tamat dan tiada perlawanan payoff untuk menentukan kedudukan akhir.
Ia merupakan gelaran ketiga Brugge dalam lima musim terakhir dan akan layak secara automatik ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Scenes later today at house Mignolet... ??????#champions #WeAreBruges #partyathome #staysafe #KAMP16EN pic.twitter.com/g1mwnSxYLx

— Simon Mignolet (@SMignolet) May 15, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Gent akan menyertai pusingan ketiga kelayakan ke pertandingan elit kelab Eropah itu selepas memiliki kelebihan satu mata di depan pasukan di tempat ketiga, Sporting Charleroi, ketika liga itu ditunda.
Walaupun saingan liga sudah ditamatkan, perhimpunan umum itu turut memutuskan untuk "cuba meneruskan" final Piala Belgium,"pada hujung minggu terakhir yang disahkan oleh UEFA dan sebelum permulaan Pro League musim 2020-21".
Antwerp, yang berada di tangga keempat liga, akan layak secara automatik ke Liga Europa musim depan sekinya menewaskan Brugge dalam final berkenaan.
Sekiranya Brugge mencatatkan kemenangan dalam final atau perlawanan itu tidak dapat diadakan, Antwerp sebaliknya harus melalui pusingan kelayakan Liga Europa bersama pasukan di tangga kelima, Standard Liege, manakala Charleroi akan terus ke peringkat kumpulan.
Waasland-Beveren pula tersingkir ke liga divisyen dua selepas ketinggalan dua mata di belakang KV Oostende.
#Club Brugge #Pro League Belgium
;