Covid-19: Cannavaro tidak rasa bola sepak Eropah dapat diteruskan

Muzaffar Musa
March 25, 2020 11:27 MYT
Fabio Cannavaro percaya agak sukar untuk bola sepak di Eropah meneruskan saingan musim ini susulan pandemik Covid-19.
Acara sukan diseluruh dunia tidak dapat diteruskan disebabkan wabak berkenaan dengan Serie A, LaLiga, Bundesliga, Ligue 1 dan Liga Perdana Inggeris, kesemuanya terpaksa ditangguhkan.
Final Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa turut ditunda manakala saingan Euro 2020 turut dianjakkan ke tahun depan susulan 18,800 kematian direkodkan di seluruh dunia -- 9,800 daripadanya direkodkan di Itali dan Sepanyol.
Bekas pertahanan Itali, Juventus dan Real Madrid, Cannavaro -- yang kini mengendalikan kelab Liga Super China, Guangzhou Evergrande -- tidak yakin saingan bola sepak di Eropah dapat diteruskan pada Mei depan.
"Dalam tempoh kurang daripada sebulan ini, kita tidak tahu apa yang akan berlaku di dunia," kata pengurus berusia 43 tahun itu kepada COPE.
"Saya fikir ia memerlukan lebih masa untuk ditamatkan di Itali dan Sepanyol.
"Saya fikir agak sukar untuk bola sepak di Eropah bersambung sebelum penamat musim ini," katanya.
Cannavaro menetap di China sejak menyertai Evergrande pada 2014 sebelum pulang ke pangkuan kelab itu pada 2017.
Dia turut mengemudikan skuad kebangsaan negara itu tahun lalu.
China menetapkan kawalan keselamatan yang tegas bagi membendung penularan wabak itu, yang mula tersebar di negara berkenaan dengan lebih daripada 3,270 kematian drekodkan.
"Penularan virus di Guangzhou dapat dikawal dan hidup di sini mula kembali normal.
"Tiada lagi kawalan pergerakan, hanya 14 hari di rumah.
"Dua hari lagi, saya akan menamatkan tempoh kuarantin saya.
"Setiap yang kembali ke negara ini perlu melakukannya.
"Duduk di rumah amat penting kerana kita tidak boleh membenarkan virus itu menjangkiti orang lain.
"Kita perlu belajar daripada China, mereka lebih berpengalaman dalam sitasi ini," tambahnya.
#Fabio Cannavaro #Covid-19
;