PAYS DE CASSEL 0 PSG 7

Christophe Galtier tidak terkejut dengan lima gol yang dihasilkan Kylian Mbappe ketika Paris Saint-Germain (PSG) membelasah Pays de Cassel dalam saingan Coupe de France, awal pagi tadi.


PSG mara ke pusingan 16 pertandingan itu menerusi kemenangan bergaya 7-0 di Lens' Stade Bollaert-Delelis yang menyaksikan Mbappe terlibat dalam kesemua jaringan mereka kecuali satu sahaja.

Seteru daripada divisyen keenam itu bergelut sejak pada awal peringkat permainan sebelum Mbappe memulakan kenduri gol PSG pada minit ke-29.

Gergasi Ligue 1 itu menutup babak pertama dengan kelebihan 4-0 dengan Mbappe mencetak tiga jaringan dan mencipta satu bantuan gol buat Neymar.

Penyerang Perancis itu kemudian menokok dua gol lagi selepas rehat untuk menjadi pemain pertama dalam sejarah PSG yang menjaringkan lima gol dalam sebuah perlawanan.

Carlos Soler -- salah seorang penjaring PSG -- turut menghasilkan aksi yang mengagumkan tetapi Mbappe dan Neymar tetap menjadi tumpuan Galtier.

"Kylian Mbappe seorang penjaring gol, dia begitu taksub dengan gol dan menyerang," kata pengurus itu kepada beIN SPORTS.




“Saya tidak akan mengatakan bahawa dia akan memperoleh keyakinan daripada lima gol ini, sebaliknya inilah standardnya.

"Adalah penting baginya dan Neymar untuk beraksi penuh. Mereka banyak bergabung dan saling bergandingan. Ia bagus untuk mereka."

Perlawanan sebegitu mengundang risiko kejutan besar buat PSG, tetapi mereka tidak pernah tergugat dengan sebarang kejutan apabila mempamerkan persembahan profesional secara menyeluruh.

Mbappe percaya langkah itu mencerminkan penghormatan mereka terhadap kelab liga bawahan.

“Kami gembira, kami datang untuk melayakkan diri dan menghormati pasukan ini,” katanya.

"Hormat bermakna kami bermain dengan kemampuan sebenar. Kami gembira. Ia adalah satu peluang hebat untuk Pays de Cassel termasuk kami kerana kami juga datang daripada bola sepak amatur.

"Kami sangat gembira untuk datang dan bermain di sini, ia adalah satu pertandingan penting buat PSG."