Costa masih tunggu keputusan Chelsea

Penulis Jemputan
June 12, 2017 09:53 MYT
Diego Costa berkata dia masih menunggu Chelsea untuk membuat keputusan mengenai masa depannya selepas menjaringkan gol kemenangan Sepanyol di Macedonia.
Sepanyol kekal berada di atas Kumpulan G dalam kelayakan Piala Dunia selepas menang 2-1 di Skopje, penyerang itu menjaringkan gol kedua pasukan pelawat untuk meraih kemenangan kelima kempen itu.
Costa mendedahkan pada minggu ini dia diberitahu melalui mesej teks daripada pengurus, Antonio Conte, bahawa dia tidak mempunyai masa depan di Stamford Bridge dan pesanan ringkas itu kemudian ditunjukkan kepada pengurusan kelab.
Pemain berusia 28 tahun itu berminat untuk berpindah ke Atletico Madrid tetapi kegagalan terhadap rayuan larangan perpindahan telah merumitkan keadaan.
AC Milan kerap dikaitkan untuk mengambil pemain itu manakala khabar angin mengatakan dia akan ke Liga Super China juga berterusan walaupun Costa berkata bulan lalu dia tidak akan membuat apa-apa tindakan yang menjejaskan harapannya untuk bermain dalam Piala Dunia.
"Saya tidak tahu," kata Costa kepada PTV apabila ditanya mengenai masa depannya.
"Saya ada baki dua tahun dalam kontrak saya bersama Chelsea, mereka perlu sedar apa yang mereka mahu lakukan dengan saya. Saya perlu menunggu untuk melihat apa keputusan kelab."
Costa menegaskan Sepanyol tahu mereka berada dalam perlawanan sukar menentang Macedonia awal pagi tadi, dengan David Silva turut menemui sasaran untuk membantu pelawat berkelebihan dua gol sebelum Stefan Ristovski meledak pada separuh masa kedua buat skuad tuan rumah.
"Kemenangan adalah sangat penting, kami tahu ia tidak akan menjadi mudah -- lihat separuh kedua," katanya.
"Pada separuh masa pertama, kami boleh menjaringkan lebih gol tetapi separuh kedua, ia begitu rumit. Kami belajar dan sengsara.
"Ini adalah perlawanan yang sangat penting tetapi aksi menentang Itali (pada September) lebih lagi. Pemain kami (hampir digantung) sangat fokus dan tahu betapa penting tidak menerima kad kuning."
Costa menjaringkan 20 gol dalam Liga Perdana musim lalu apabila Chelsea memenangi gelaran itu dalam kempen pertama mereka di bawah kendalian Conte.
#Chelsea #Spain #Diego Costa
;