Presiden Marseille, Jacques-Henri Eyraud, percaya bahawa penyerang Chelsea, Diego Costa, mampu menjadi jawapan kepada masalah barisan depan pasukannya.

Costa kini disisihkan oleh pengendali The Blues, Antonio Conte, selepas pengurus dari Itali itu memberitahu bahawa penyerang itu tiada dalam perancangan pasukannya bagi menghadapi saingan musim 2017/18.

Dalam masa sama, Marseille sedang giat mencari pengganti kepada Bafetimbi Gomis selepas penyerang yang menyumbat 20 gol dalam Ligue 1 musim lalu itu berhijrah ke Galatasaray dan Eyraud tanpa berselindung menunjukkan minatnya terhadap Costa.

“Saya sukakan wataknya dan dia sesuai untuk bersama kami di Marseille tetapi kini situasinya agak rumit,” katanya.

Marseille menikmati musim perpindahan pemain selepas mendapatkan tujuh pemain termasuk Florian Thauvin, Luiz Gustavo, Valere Germain dan Clinton N'Jie bagi memperkuatkan skuad kendalian Rudi Garcia.

Jika pihak Marseille dan Chelsea mampu mencapai kata sepakat, Eyraud tidak akan teragak-agak untuk mendapatkan khidmat Costa bagi menghadapi kempen musim ini.

“Jika pemain bersetuju dengan setiap syarat, kami akan menunjukkan bahawa kami mampu membayar untuk mendapatkan khidmatnya.

“Tiada apa yang mustahil, namun segalanya perlu bersyarat.

“Yang pasti, kami sedang mencari seorang penyerang,” tambahnya.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.