Penggempur Sampdoria, Manolo Gabbiadini, didapati positif Coronavirus selepas disahkan oleh kelab Itali itu.

Gabbiadini muncul pemain profesional kedua dalam Serie A positif wabak COVID-19 selepas pertahanan Juventus dan Itali, Daniele Rugani.

"UC Sampdoria mengumumkan bahawa Gabbiadini didapati positif COVID-19," kata wakil kelab itu.

"Gabbiadini mengalami demam tetapi masih dalam keadaan baik. Pihak kelab melakukan pengasingan untuk mengawal keadaan."

Menerusi laman Twitter peribadi, penyerang itu memberitahu: "Saya didapati positif Coronavirus. Saya mahu mengucapkan terima kasih atas semua mesej yang diterima. Saya juga mahu memaklumkan bahawa saya dalam keadaan baik, usah risau. Ikut peraturan, duduk di rumah dan segalanya berjalan dengan baik."

Gabbiadini beraksi 61 minit ketika Sampdoria meraih kemenangan 2-1 ke atas Hellas Verona, Ahad lalu tatkala aksi itu dijalankan dalam stadium tertutup.

Susulan berita mengenai bekas penyerang Southampton itu dijangkiti COVID-19, Verona membatalkan semua aktiviti akan datang.

"Hellas Verona FC mengumumkan bahawa susulan kenyataan daripada Sampdoria mengenai Gabbiadini positif COVID-19, semua jadual kompetitif ditunda sehingga perkembangan seterusnya," kata wakil kelab Serie A itu.

"Pihak kelab mengambil langkah yang perlu mengikut prosedur."

Kerajaan Itali menunda semua acara sukan sehingga 3 April depan susulan penularan wabak itu dan meletakkan negara dalam darurat, di mana semua kedai kecuali premis dan stor makanan serta farmasi ditutup.

Terdapat lebih 12,000 kes yang disahkan menghidap COVID-19 dan 827 daripadanya meninggal dunia.