Corinthians denda penyerang sendiri gara-gara pakai kasut warna musuh ketat

Shaiful Shamsudin
June 21, 2021 22:10 MYT
Corinthians mendenda pemain bintang mereka, Jo, kerana memakai kasut hijau yang merupakan warna seteru utama mereka di Brazil, Palmeiras.
Bekas penyerang Manchester City itu mencetuskan reaksi tidak disenangi apabila memakai but berwarna hijau terang ketika mereka buntu di tempat lawan dalam saingan Campeonato Brasileiro Serie A.
Berikutan bantahan peminat Corinthians, kelab itu kemudian mengenakan hukuman tersebut dan memberi amaran dengan melarang bekas pemain antarabangsa kebangsaan tersebut daripada memakainya lagi, bahkan dalam latihan.
Penyerang tersebut -- yang meninggalkan kelab akademinya itu sejak 2003 apabila berkelana ke CSKA Moscow, Everton dan Galatasaray -- kemudian tampil meminta maaf.
"Saya tidak akan menggunakan kasut hijau lagi atas pertalian saya dengan Corinthians, sebuah kelab yang saya cintai sejak kecil lagi," kata pemain berusia 34 tahun itu dalam satu kenyataan menerusi Veja.
"Saya tidak akan biadap terhadap Corinthians, apalagi peminat. Saya menghormati jersi ini dan saya akan sentiasa begitu."
Corinthians dan Palmeiras merupakan musuh tertua dalam bola sepak Brazil yang dirujuk sebagai 'derby Paulista'.
Ia antara 10 perlawanan musuh setempat termahsyur di dunia.
Palmeiras berada di kedudukan keempat dalam Campeonato Brasileiro Serie A selepas lima perlawanan musim ini, lima mata mendahului lawan mereka itu yang terperosok di tangga ke-11.
Kali terakhir Corinthians menjuarai Campeonato Brasileiro Serie A adalah dalam edisi 2017, manakala Palmeiras pula -- pemenang 2018 -- menakluki Copa Libertadores pada tahun lalu.
#Palmeiras #Corinthians
;