JUVENTUS 2 FIORENTINA 0
(Juventus ke final dengan agregat 3-0)

Juara bertahan, Juventus, mara ke final Coppa Italia selepas menewaskan Fiorentina 2-0 dalam aksi separuh akhir kedua di Turin awal pagi tadi.

Bianconeri membawa kelebihan 1-0 daripada perlawanan pertama bulan lalu dan terpaksa berkerja keras memburu tempat ke final bulan depan apabila Fiorentina mempamerkan penguasaan permainan dan melakukan percubaan yang sekali ganda lebih banyak berbanding mereka.

Federico Bernardeschi memastikan Juve di depan selepas setengah jam permainan sebelum Danilo menambah gol kedua dalam waktu kecederaan.

Dengan kemenangan itu, skuad bimbingan Massimiliano Allegri berkenaan akan berdepan Inter Milan dalam aksi final di Stadio Olimpico pada 11 Mei ini selepas skuad Nerazzurri itu mengatasi Milan dalam satu lagi penentuan separuh akhir.