RAYO MAJADAHONDA 0 ATLETICO MADRID 5

Atletico Madrid mara ke pusingan 16 Copa del Ray selepas membelasah Rayo Majadahonda 5-0 awal pagi tadi.

Diego Simeone menurunkan kesebelasan terkuatnya dalam perlawanan itu -- yang dimainkan di Wanda Metropolitano walaupun Majadahonda bertindak sebagai tuan rumah -- dan mereka langsung tidak kelihatan bergelut sebaik Matheus Cunha membuka jaringan awal.

Renan Lodi dan Luis Suarez kemudian menjadikan kedudukan 3-0 sebelum waktu rehat sebagai membuktikan penguasaan penuh Colchoneros.

Pemain gantian, Antoine Griezmann -- yang kemudian dikeluarkan kerana kecederaan -- menambah gol keempat menerusi gerakan menariknya sebelum Joao Felix melengkapkan keputusan perlawanan itu pada lewat permainan.

Atletico memberikan tekanan awal dan berhasil memecahkan kebuntuan pada minit ke17, di mana Matheus Cunha menemui sasaran selepas Yannick Carrasco menahan bola yang cuba dikeluarkan pertahanan lawan.

Sembilan minit kemudian, giliran Lodi membuka akaun jaringannya musim ini apabila memanfaatkan umpanan Thomas Lemar untuk disudahkan dari jarak 15 ela ke penjuru kiri atas gawang Alvaro Fernandez.

Suarez, yang percubaan awalnya dinafikan Fernandez, menambah gol ketiga Atletico pada tiga minit terakhir babak pertama dengan menyudahkan lintangan rendah Marcos Llorente dari jarak 12 ela.

Pasukan bimbingan Simeone itu memulakan babak kedua dengan agak kucar-kacir tetapi berhasil menambah jaringan keempat pada minit ke-67, di mana Griezmann bergandingan dengan seorang lagi pemain gantian, Angel Correa, sebelum melepaskan ledakan ke jaring atas Fernandez.

Joao Felix kemudian melengkapkan pesta jaringan itu hasil gerakan menarik dari sebelah kiri pada 11 minit terakhir.

Atletico, yang kini berada di tangga keempat LaLiga, seterusnya akan bertandang ke laman Villarreal bagi perlawanan liga hujung minggu ini.