Lionel Messi menjaringkan satu gol dan melakar satu assist ketika menghidupkan peluang bagi menamatkan penantian 28 tahun untuk menjuarai Copa America dengan kemenangan 3-0 dalam suku akhir ke atas Ecuador di Goiania awal pagi tadi.

Messi menggegar palang di awal permainan sebelum tenang melakukan lorongan buat Rodrigo De Paul yang berjaya meledak gol sulung di peringkat antarabangsa pada minit ke-40.


Kapten berusia 34 tahun itu kemudian menggunakan kesilapan Piero Hincapie sebelum mencari Lautaro Martinez -- yang meledak gol kedua dalam dua perlawanan -- sebelum menambah jaringan menerusi sepakan percuma.

Argentina melanjutkan rekod tanpa kalah kepada 18 perlawanan di bawah kendalian Lionel Scaloni. La Tri tersingkir tanpa sebarang kemenangan, di sebalik mara ke pusingan kalah mati.