Copa America: Colombia ke final benam Uruguay dengan hanya 10 pemain

Muzaffar Musa
July 11, 2024 10:21 MYT
COLOMBIA 1 URUGUAY 0
Colombia mara ke final Copa America 2024 selepas membenam Uruguay 1-0 dalam aksi separuh akhir di Stadium Bank of America sebentar tadi.
Menariknya, Los Cafeteros mempertahankan kelebihan satu gol itu biarpun terpaksa beraksi dengan 10 pemain sepanjang separuh masa kedua.
Jefferson Lerma muncul wira Colombia apabila jaringan tunggalnya membawa mereka ke final.
Pemain berusia 29 tahun itu menanduk masuk bola daripada sepakan penjuru James Rodriguez untuk memastikan Colombia di depan pada minit ke-39.
Segala-galanya kelihatan baik buat Colombia sehinggalah Daniel Munoz dilayangkan kad kuning kedua dalam waktu kecederaan sebelum ke bilik persalinan gara-gara menyiku dada Manuel Ugarte.
Bagaimanapun, Uruguay gagal memanfaatkan kelebihan seorang pemain untuk menyamakan kedudukan sepanjang babak kedua, sekali gus terpaksa merelakan kemaraan Colombia ke final.
Colombia seterusnya akan mencongak perhitungan dengan pasukan pilihan utama, Argentina, bagi perebutan gelaran benua Amerika itu pada Isnin ini.
#bola sepak #Colombia #Uruguay #Copa America