Copa America: Bielsa berang, pertahan pemain Uruguay bertempur dengan penyokong Colombia

Muzaffar Musa
July 13, 2024 13:07 MYT
Marcelo Bielsa bersungguh-sungguh mempertahankan pemain Uruguay selepas bertempur dengan penyokong Colombia sebaik kekalahan dalam aksi separuh akhir Copa America di Charlotte pada Khamis lalu.
Impian La Celeste untuk memecahkan rekod dengan gelaran ke-16 tidak kesampaian selepas tewas 0-1 di tangan Colombia dan akan berdepan Kanada bagi penentuan tempat ketiga pagi esok.
Selepas perlawanan itu, pemain Uruguay dirakam memanjat ke tempat duduk penonton Stadium Bank of America apabila keluarga mereka dikasari penyokong Colombia.
CONMEBOL sudah membuka kertas siasatan mengenai insiden itu tetapi ketika ditanya sama ada dia gusar pemainnya akan dikenakan hukuman, Bielsa menegaskan pemainnya lebih layak untuk menerima permohonan maaf.
"Bagaimana anda tidak mempertahankan ibu anda, adik perempuan anda, seorang bayi?!" katanya dengan nada marah dalam sidang media sebelum perlawanan.
"Jika mereka tidak melakukannya, mereka akan dikritik oleh kita semua.
"Hukuman tidak sepatutnya buat pemain tetapi buat mereka yang memaksa pemain berkelakuan seperti itu. Ia memalukan.
"Anda sepatutnya tanya saya adakah kami sudah menerima permohonan maaf, bukannya adakah saya gusar dengan hukuman itu.
"Di sini, mesejnya ialah kami tidak dapat mempertahankan keluarga anda dan membenarkan mereka untuk keluar. Hukuman apa yang anda sedang katakan kepada saya?!"
#bola sepak #Uruguay #Copa America #Marcelo Bielsa