Antonio Conte mengakui dia perlu meninggalkan Tottenham sekiranya dia tidak lagi boleh menerima hakikat kedudukan kelab itu mampu menjadi pencabar Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara (UCL).

Spurs menghampiri perlawanan bertemu Crystal Palace, awal pagi esok, dan lima mata di belakang pasukan tangga keempat, Manchester United, selepas menempa kekalahan 0-2 kepada Aston Villa pada Hari Tahun Baru.

Tottenham kini hanya menang sekali daripada empat perlawanan terakhir liga dan prestasi buruk itu mereka menghangatkan lagi spekulasi mengenai masa depan Conte.

Bekas pengurus Chelsea, Juventus dan Inter itu beberapa kali telah dikaitkan akan meninggalkan kelab tersebut sejak memainkan peranan pada November 2021.

Walaupun Conte tetap berpuas hati di Tottenham buat masa ini, dia berkata komitmennya kepada kelab itu hanya boleh bertahan sementara dia masih selesa dengan ketidakupayaan mereka untuk bersaing merebut trofi utama.

"Tugas saya adalah untuk membantu kelab, untuk mencipta asas dan cuba memperbaikinya," katanya dalam sidang media pra-perlawanan.

"Jika anda berkata kepada saya, 'cabaran untuk anda adalah untuk memenangi EPL, untuk memenangi UCL' tapi ini bukan fokus saya pada masa ini.









"Saya mendapati kelab ini di kedudukan yang sukar atas banyak sebab. Sekarang tugas saya adalah untuk membantu kelab ini menuju ke arah yang betul dan mewujudkan asas.

"Kemudian, jika saya berpuas hati untuk terus menggalas tugas ini dan untuk melihat hasilnya, maka saya akan kekal. Jika saya tidak yakin 100 peratus, maka saya boleh meninggalkan jawatan ini.

"Ini adalah cabaran terbesar saya di sini. Jika saya mahu kekal di sini, maka saya perlu akur. Jika tidak, sekiranya saya enggan lagi menerima situasi ini, saya perlu pergi."

Penyokong Spurs meluahkan kekecewaan mereka terhadap pengerusi, Daniel Levy, dalam kekalahan kepada Villa tetapi Conte menegaskan tentang perpaduan kelab itu.

Ditanya mengenai laungan yang menyeru Levy agar angkat kaki dalam perlawanan terakhir membabitkan Tottenham itu, Conte berkata: "Sejujurnya, saya tidak mendengarnya.

"Apa yang boleh saya katakan adalah penting pada masa ini untuk mempunyai kebersamaan antara peminat, pemain dan kelab. Kami harus bersatu teguh.

"Saya faham peminat mahu memenangi trofi dan berdaya saing tetapi untuk melangkah ke arah ini, anda perlu membina asasnya. Saya tidak mampu memberitahu anda mengenai perkara selain daripada itu."