Conte: Kejayaan musim lalu satu keajaiban
Penulis Jemputan
November 5, 2017 11:24 MYT
November 5, 2017 11:24 MYT
Antonio Conte menyifatkan kejayaannya membawa Chelsea menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim lalu adalah satu keajaiban, sama seperti apa yang dilakukan oleh Leicester City, setahun sebelum itu.
Pada tahun 2016, rakan senegara Conte, Claudio Ranieri, berjaya mengemudi The Foxes daripada pasukan bawahan kepada status juara dalam masa setahun, sekaligus mencatat sejarah besar buat EPL.
Ketika itu, Chelsea yang memegang status sama seperti sekarang, juara bertahan, menamatkan saingan di tempat ke-10 di bawah kendalian Jose Mourinho.
Situasi itu tidak mustahil berulang selepas The Blues kini ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu liga, Manchester City, dan bakal melayani pasukan tangga kedua, Manchester United, di Stamford Bridge malam ini.
Bagaimanapun, Conte mempunyai jawapan tersendiri mengenai senario tersebut.
"Harus diingat bahawa sejak empat atau lima tahun lalu, kami kehilangan beberapa pemain yang penting seperti Didier Drogba, Petr Cech, Frank Lampard, John Terry, Branislav Ivanovic dan Nemanja Matic.
"Saya bercakap mengenai pemain-pemain yang telah mencipta sejarah bersama pasukan dan berkhidmat dalam tempoh yang lama buat Chelsea.
"Kini kami sedang membina semula sesuatu yang penting, memastikan pasukan bersedia menghadapi situasi seperti itu.
"Jika kami rasa kami bersedia untuk berjuang, ia tidak semudah disangka. Apa yang berlaku pada musim lalu adalah satu keajaiban," katanya.
Ketika ditanya mengenai perbandingan kejuaraan yang diraih dengan Ranieri, Conte menyifatkan rakan senegaranya itu melakukan tugas dengan baik bersama Leicester.
"Saya rasa Leicester beraksi dengan amat baik kerana jika anda sering berjuang daripada penyingkiran dan berakhir dengan kejuaraan, ia adalah satu keajaiban besar.
"Untuk Chelsea, sebuah pasukan yang banyak memenangi liga sebelum ini, anda perlu faham satu perkara.
"Nama Chelsea kadangkala menyembunyikan sesetengah perkara. Apabila anda menamatkan saingan di tempat ke-10, anda melakukan keajaiban yang berbeza dan berlawanan," tambahnya.
"Ia perkara ajaib kerana kami menamatkan liga di tempat ke-10 dan menjadi juara selepas itu dengan pasukan yang sama.
"Ya, kami melalui jendela perpindahan yang baik dengan kehadiran Michy Batshuayi, David Luiz, N'Golo Kante dan Marcos Alonso tetapi jika diingatkan semula, media adalah kelompok pertama yang menyifatkan proses perpindahan kami telah gagal.
"Saya masih ingat tajuk utama itu. Apabila saya tersilap, saya mengakuinya dan begitu juga anda."