City hanya akan dinilai berdasarkan kejayaan dalam UCL -- Guardiola
Muzaffar Musa
March 14, 2023 10:22 MYT
March 14, 2023 10:22 MYT
Pep Guardiola mengakui eranya bersama Manchester City hanya akan dinilai dengan kejayaan dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) walaupun mereka masih berjuang memburu tiga gelaran musim ini.
Dengan hanya ketinggalan lima mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal, City akan berdepan Burnley dalam suku akhir Piala FA hujung minggu ini, di mana mereka akan meneruskan usaha memburu gelaran 'treble' semusim.
Sebelum itu, City perlu memberikan fokus dalam kempen peringkat Eropah menjelang aksi kedua pusingan 16 UCL menentang RB Leipzig di laman sendiri awal pagi esok selepas terikat 1-1 dalam pertemuan pertama.
Bulan lalu, gol pembukaan Riyad Mahrez dipadamkan jaringan Josko Gvardiol dalam babak kedua, sekali gus menjadikan aksi di Stadium Etihad awal pagi esok sebagai penentu pasukan mana lebih layak untuk ke suku akhir.
City masih menjadi pasukan pilihan untuk memenangi UCL musim ini walaupun mereka gagal melaksanakan jangkaan itu biarpun membawa status sama dalam beberapa musim lalu.
Ketika Guardiola sedang menikmati pelbagai kejayaannya sepanjang di kelab itu, dia mengakui bahawa prestasinya hanya akan dinilai berdasarkan kemampuannya untuk menamatkan penantian panjang gelaran UCL pertama mereka.
Next up: A UCL night under the lights! ? pic.twitter.com/qlFGXuCfr6
— Manchester City (@ManCity) March 12, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Ditanya sama ada dia bersetuju dengan kenyataan itu, Guardiola berkata dalam sidang media: "Benar. Ia tidak bermakna sata bersetuju dengannya tetapi kami sememangnya akan dinilai berdasarkan kejohanan ini.
"Setiap pasukan di peringkat ini memiliki kualiti dan kekuatan tersendiri. Esok, kami perlu memaksa permainan terbaik kami dan melakukan apa yang perlu dilakukan.
"Kami perlu memenangi perlawanan ini, ia semudah itu.
"Ia bukan mengenai seberapa banyak kami boleh menjaringkan gol, ia hanya kami perlu memenangi perlawanan ini -- itulah yang perlu kami lakukan," katanya.