Edinson Cavani "pemain berkualiti" yang telah memberikan Manchester United dimensi berbeza dalam serangan, kata Marcus Rashford.

Pemain antarabangsa Uruguay itu bergabung dengan United dengan perpindahan percuma pada bulan Oktober selepas kontrak bersama Paris Saint-Germain (PSG) tamat dan telah membuat 13 penampilan setakat ini.

Cavani hadir sebagai pemain gantian dan telah mencetus impak kebelakangan ini, dengan tiga gol dan dua assist telah dihasilkan.

Terbaru ketika melakukan lorongan buat jaringan kedua United yang disempurnakan oleh Bruno Fernandes ketika seri 2-2 dengan Leicester City, menerima pujian daripada Rashford.

"Dia pemain berkualiti, kemampuannya membenarkan kami beraksi dengan dimensi yang berbeza daripada apa yang ada dalam pasukan," katanya.

"Senang bermain dengannya dan melihatnya menjaringkan gol dan melakukan assist adalah penting untuk mana-mana pemain penyerang.



"Edinson bijak membaca hantaran Eric Bailly sekaligus meletakkan dirinya dan kedudukan yang terbaik.

"Dia kemudian melakukan hantaran yang disempurnakan oleh Bruno. Seri dalam perlawanan itu amat mengecewakan."

Rashford meledak gol pendahulu buat pasukan -- pertama kali United membuka jaringan di tempat lawan sejak Julai -- mengakui kecewa sekadar meraih satu mata.

"Ia seperti tewas dalam bilik persalinan. Kami berhak menang dan kami berpeluang untuk menang, tetapi kami gagal memastikannya.

"Kami sekarang perlu rehat dan sekali lagi beraksi untuk perlawanan berikutnya."