REAL MADRID 2 MANCHESTER UNITED 1

Real Madrid meraih Piala Super UEFA selepas menewaskan Manchester United 2-1 di Skopje, awal pagi tadi.


Jaringan a Casemiro dan Isco memastikan kemenangan memihak kepada juara bertahan Liga Juara-Juara (UCL) itu, yang kini telah berjaya meraih trofi tersebut tiga kali sejak 2014.

Romelu Lukaku mengurangkan defisit jaringan dalam babak kedua perlawanan tetapi juara Liga Europa (UEL) itu gagal memberikan saingan kepada Real di Philip II Arena.

United, yang menewaskan Real menerusi penentuan sepakan penalti selepas seri 1-1 dalam saingan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) bulan lalu, tidak mampu mengulangi prestasi mereka ketika bertemu skuad bimbingan Zinedine Zidane yang menurunkan Gareth Bale manakala Cristiano Ronaldo hadir ke dalam perlawanan sebagai pemain gantian di hujung permainan.

Jose Mourinho memberikan aksi kompetitif pertama kepada Lukaku, Nemanja Matic dan Victor Lindelof tetapi gagal untuk meraikan kemenangan selepas bekas kelab kendaliannya itu membuka jaringan pada minit ke-24 menerusi Casemiro.

Isco menjadikan kedudukan 2-0 pada separuh masa kedua selepas melakukan gerakan satu-dua dengan Bale sebelum menewaskan penjaga gol, David de Gea.

Lukaku menjaringkan gol pertamanya dalam aksi kompetitif tetapi tidak cukup untuk mencetus kebangkitan buat United, sekaligus menyaksikan Real meraih trofi keenam sejak Zidane mengambil alih pasukan pada Januari lalu.

Statistik Opta:

- Romelu Lukaku telah menjaringkan gol dalam penampilan sulung untuk Everton, West Bromwich Albion dan Manchester United.

- Lapan daripada sembilan final Piala Super telah dimenangi oleh kelab dari Sepanyol -- Barcelona (2009, 2011 dan 2015), Atletico Madrid (2010 dan 2012) dan Real Madrid (2014, 2016 dan 2017). Bayern Munich menjulang trofi tersebut pada 2013.

- Manchester United telah tewas tiga kali dalam aksi final Piala Super (1999, 2008 dan 2017).

- Isco terlibat dalam 15 gol untuk Real Madrid pada 2017 (10 gol, lima bantuan jaringan), hanya Cristiano Ronaldo terlibat lebih banyak untuk kelab (31).

- Gareth Bale melakukan bantuan jaringan buat kali pertama untuk Real sejak November 2016 berdepan Atletico Madrid.

- Jose Mourinho tidak pernah menewaskan Real Madrid sebagai pengurus dalam lima percubaan (M0 S1 K4).